Menteri Kesihatan merangkap Presiden MIC, Datuk Seri S. Subramaniam bercakap pada sidang media selepas Majlis Perasmian Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Ladang Bukit Bertam, Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 26 FEBRUARI 2018.

REMBAU – Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bandar Sri Sendayan yag dibina serba moden dan cantik diharap menjadi contoh kepada pemaju lain yang terlibat dalam pembangunan sekolah di negara ini.

Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam menyifatkan sekolah dua tingkat dengan 12 bilik darjah serba moden dengan kos berjumlah RM17 juta antara sekolah terbaik yang pernah dilihatnya.

Beliau menegaskan, ia merupakan majlis bersejarah kerana sekolah yang pernah beroperasi dalam keadaan serba kekurangan suatu ketika dahulu kini berwajah baharu dan serba canggih di atas tanah seluas 2.4 hektar dibawah kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Saya telah melihat sekolah ini dan boleh katakan dalam lawatan ke semua sekolah Tamil setakat ini, inilah yang terbaik dan terindah yang dibangunkan syarikat Pemaju Matrix Concept Sdn.Bhd. sepenuhnya dengan kerjasama kerajaan Negeri Sembilan.

“Semua pemaju yang terlibat pembangunan sekolah di negara ini sama ada sekolah kebangsaan atau sekolah Cina atau menengah perlu mencontohi sekolah ini sebagai contoh demi transformasi pendidikan di negara ini.

“Harap prosedur operasi standard sekolah ini diambil sebagai sampel oleh semua pemaju di masa akan datang,” katanya dalam ucapan semasa majlis perasmian SKJT itu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersalaman dengan orang ramai yang hadir pada Majlis Perasmian Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Ladang Bukit Bertam, Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 26 FEBRUARI 2018.

Perdana Menteri telah merasmikan sekolah berkenaan dengan nama baharu yang akan dikenali sebagai SJKT Bandar Baru Sri Sendayan selepas ini selepas diminta sendiri oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohammad Hassan.

Dalam ucapan sama, Subramaniam turut menegaskan setakat ini kerajaan kepimpinan Najib telah menyumbangkan dana berjumlah hampir RM1 bilion untuk pembangunan sekolah Tamil di negara ini.

“PM kita Najib satu-satunya PM yang memberikan peruntukan sebegitu banyak untuk kita berbanding PM lain sebelum ini dan kita sangat menghargainya,” katanya.

Terdahulu, Mohammad Hassan yang berucap pada majlis yang sama berkata, kerjasama pemaju dengan kerajaan BN negeri untuk mewujudkan sekolah Tamil itu akan diteruskan pada masa akan datang demi menjamin kesejahteraan rakyat.

“Oleh kerana kepadatan penduduk di Sendayan meningkat, saya sedar perlunya sebuah sekolah di sini dan hasil kerjasama pemaju Matrix Concept Sdn.Bhd kita BN berjaya melaksanakannya.

“Selepas ini sekolah kebangsaan dan sebuah sekolah vernakular Cina juga akan dibangunkan dengan jumlah sekitar RM9 juta hingga RM10 juta seperti sekolah Tamil ini, itu komitmen tetap BN negeri ini dibawah kepimpinan saya dan PM,” tegasnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast