Pep Guardiola rela dihukum FA kerana memakai riben kuning sebagai solidariti kepada tuntutan kebebasan Catalan dari Sepanyol.

LONDON – Pep Guardiola sekali lagi memakai riben kuning pada perlawanan akhir Piala Carabao menentang Arsenal malam tadi di Stadium Wembley tanpa mempedulikan amaran Persatuan Bola Sepak England (FA).

Pengurus Manchester City itu menunjukkan solidaritinya kepada pemimpin Catalan yang dipenjarakan kerana menuntut kebebasan daripada Sepanyol.

Guardiola tetap dengan pendiriannya muncul dengan memakai riben kuning walaupun sudah diberi amaran akan berdepan penggantungan oleh FA.

Semasa perlawanan, riben itu dilindungi skaf dan kot dan Guardiola juga pernah memakai riben pada sidang media dan perlawanan menentang Wigan Athletic dalam saingan Piala FA.

Guardiola sudah didakwa oleh FA atas tuduhan melanggar peraturan pengiklanan dan akan dikenakan tindakan tegas kerana memakai riben yang menunjukkan mesej politik.

Jurulatih warga Sepanyol itu diberi tempoh sehingga 5 Mac ini untuk menjawab pertuduhan yang dihadapinya.

Guardiola menyedari dia akan digantung semasa perlawanan jika terus memakai riben kuning bermotifkan politik itu.

Malah sebilangan besar penyokong kelab ‘jiran bising’ itu juga kelihatan memakai riben kuning sebagai solidariti kepada pengurus mereka.

Minggu lalu, jet peribadi yang dinaiki Guardiola diperiksa polis sejurus selepas mendarat di Sepanyol kerana disyaki menyeludup masuk pemimpin Catalan.

Guardiola berkata: “Kesemua ahli politik berada dalam penjara. Saya berharap mereka bebas dan pulang ke pangkuan keluarga masing-masing untuk meneruskan kehidupan mereka seperti biasa.

“Saya berharap dapat berhenti daripada memakai riben kuning ini tidak lama lagi,” tegasnya.

Namun peraturan FA tidak boleh menghalang Guardiola memakai riben kuning itu semasa aksi Liga Juara-Juara Eropah pada Selasa dan Rabu.

Ditanya sebab masih memakai riben itu walaupun bakal berdepan tindakan tegas, bekas jurulatih Barcelona dan Bayern Munich itu berkata: “Saya memakai riben berulang kali kerana dua individu spesifik yang mempertahankan sesuatu seperti hak mengundi dan sesuatu yang tidak disenangi rakyat dipenjara.

“Bagi saya ia tidak adil. Tidak mengapa jika saya digantung untuk perbuatan memakai riben kuning, tetapi orang lain sedang berada dalam penjara.

“Saya tak peduli sekiranya UEFA, Liga Perdana Inggeris (EPL), Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menggantung saya,” katanya. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast