DUBAI – Kakitangan hotel yang mengiringi Sridevi dan suaminya telah disoal siasat berhubung kematian aktres tersebut.
Difahamkan pasukan penyiasat sedang melakukan urutan peristiwa sehingga penemuan mayat Sirdevi di Bilik 2201 di Jumeirah Emirates Towers.
Sumber polis Dubai berkata, mayat pelakon itu dijangka dilepaskan untuk diterbangkan ke India selepas segala siasatan selesai, selewat-lewatnya hari Selasa.
“Terdapat persoalan selepas melihat laporan bedah siasat Sridevi dikeluarkan, kami perlu meneliti semula kes ini,” kata seorang sumber.
Sementara menunggu siasatan, mayat Sridevi akan kekal di bilik mayat Al Qusais manakala bilik hotel yang menjadi penginapan pelakon itu disita.
Prosedur itu adalah mengikut peraturan Dubai, yang mana kematian berlaku di luar hospital perlu disiasat dengan teliti, walaupun ia adalah kematian semula jadi.
Menurut sumber, suami Sirdevi, Boney Kapoor turut disoal siasat di pejabat kementerian luar di Dubai DXB.
Polis turut menyiasat rekod panggilan telefon Sridevi.
Rekod perubatan Sridevi dari India juga telah dicari. Pejabat pendakwa ingin tahu apa rawatan perubatan yang telah diambil sebelum ini termasuk pembedahan untuk tujuan siasatan kematian mengejut aktres tersebut.
Sumber berkata, Timbalan Pendakwa Raya Dubai juga tidak menolak untuk melakukan bedah siasat semula ke atas mayat pelakon itu jika ia diperlukan.
Boney juga tidak boleh meninggalkan Dubai sehingga dia dibenarkan.
Sebelum ini Boney memberitahu pesawat persendirian Reliance sudah bersiap sedia di lapangan terbang Dubai untuk membawa balik mayat isterinya ke India. Penerbangan itu dijadualkan berlepas pada 4.30 petang semalam.
Walau bagaimanapun, mayat tersebut tidak dapat dikeluarkan sehingga mendapat kebenaran daripada Pejabat Pendakwa Raya.
Polis Dubai memaklumkan Sridevi meninggal akibat lemas dalam tab mandi pangsapuri hotelnya selepas tidak sedar diri dan kes itu dipindahkan kepada Pejabat Pendakwa Raya Dubai.
Sementara itu, Duta India ke Emiriah Arab Bersatu memaklumkan, kes-kes kematian memerlukan masa antara dua hingga tiga hari untuk melengkapkan proses dan akan memastikan mayat pelakon itu dibawa pulang segera. – MalaysiaGazette