Dr Mazlina Abu Bakar bercakap pada sidang media PPIM berkaitan penipuan penjualan tiket penerbangan pada harga murah di Villa Puteri, Kuala Lumpur. foto IMRAN FAKHRI, 27 FEBRUARI 2018

KUALA LUMPUR – Lebih 11 individu yang merupakan ejen terpaksa berputih mata apabila ditipu seorang wanita yang mengaku anak seorang VIP bergelar `Tan Sri’ dalam urusan jualan tiket penerbangan.

Malah, lebih malang lagi apabila rata-rata ejen-ejen yang menjadi mangsa wanita terbabit berdepan tanggungan hutang hingga mencecah ratusan ribu ringgit dengan bank gara-gara mahu menjadikan wang tersebut sebagai modal pusingan dalam menjalankan perniagaan berkenaan.

Kesemua yang ditipu wanita terbabit merupakan bekas lepasan universiti dalam dan luar negara serta ada yang masih menuntut.

Pada sidang media hari ini, empat daripada ejen terbabit mengaku terpedaya dengan wanita tersebut yang turut menjual nama seorang pemimpin negara sebagai taktik untuk meyakinkan urusan perniagaan yang dilakukan.

Pengerusi Biro Pembangunan Sosial, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Dr Mazlina Abu Bakar berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan terhadap wanita terbabit yang dikenali sebagai Mashitah.

Katanya, berdasarkan maklumat, wanita terbabit didapati aktif memperdaya mangsa-mangsanya melalui penjualan tiket penerbangan murah sebagai pendapatan sampingan.

“Wanita itu dipercayai menjadi dalang penipuan dengan cara melantik ejen-ejen penjualan tiket dan menjanjikan serta mengeluarkan tiket penerbangan palsu yang tidak wujud kepada pelanggan.

“Oleh kerana kebiasaan proses pembelian tiket mengambil masa yang lama, penipuan tidak dapat dikesan oleh ejen-ejen yang dilantik olehnya,” katanya.

Bagaimanapun, ejen-ejen tersebut merasa ragu dengan apabila Mashitah lama kelamaan cuba memperleceh urusan mereka sehingga timbul perasaan marah dalam kalangan pelanggan ekoran tiket penerbangan yang dijanjikan tidak diterima, katanya.

Mazlina mendakwa, beberapa laporan polis turut dibuat oleh ejen-ejen berkenaan selepas menyedari diri mereka ditipu namun, tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak berkuasa dan wanita terbabit masih lagi menjalankan aktivitinya sehingga kini.

Seorang ejen, Faten Nor Izzatie Saleh, 25, berkata,
dia terpegaruh dengan Mashitah apabila wanita itu menggunakan pengaruh ayahnya yang bergelar ‘Tan Sri’ hingga membolehkan mendapat tiket penerbangan dengan harga yang murah.

Mangsa, Faten Nor Izzatie, 25 bercakap pada sidang media PPIM berkaitan penipuan seorang wanita yang mengaku anak seorang Tan Sri di Villa Puteri, Kuala Lumpur. foto IMRAN FAKHRI, 27 FEBRUARI 2018.

Katanya, Mashitah mendakwa ayahnya mempunyai hubungan yang rapat dengan seorang pemimpin tertinggi negara dan disebabkan itu tidak ada halangan untuk mendapatkan tiket penerbangan murah, sekali gus mampu menjadikan ia peluang bagi menjana pendapatan.

“Pernah sekali saya berjumpa dengan dia (Mashitah), dan dia kata baru balik dari pejabat TPM. Jadi saya tak ada lah tanya lebih-lebih.

“Saya ada buat periksa latar belakangnya dan dia ada kes-kes lama cuma mangsa-mangsa itu tidak memviralkannya. Rupa-rupanya dia ni dah lama buat perkara-perkara semacam ini,” katanya yang merupakan penuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Rakannya, Nor Munirah Abdullah pula memberitahu, asal perkenalannya dengan Mashitah apabila dia mengubungi wanita itu untuk mengetahui lebih lanjut bagaimana hendak mendapatkan tiket penerbangn lebih murah selepas berjaya berurusan dengannya sebelum itu.

Ujarnya, Mashitah cuba mengambil kesempatan terhadap dirinya untuk menipu apabila mengetahui dia mempunyai pengikut yang ramai di Instagram.

Mangsa, Nor Munirah Abdullah, 29 bercakap pada sidang media PPIM berkaitan penipuan seorang wanita yang mengaku anak seorang Tan Sri yang menyebabkan kerugian sebanyak RM3.5 juta di Villa Puteri, Kuala Lumpur. foto IMRAN FAKHRI, 27 FEBRUARI 2018.

“Sebelum ni saya tengok dulu macam mana berurusan dengannya. Pada permulaan iaitu Jun tahun lalu semua tiket yang ditempah oleh pelanggan diperoleh dengan mudah.

“Namun, pada Disember segalanya berubah apabila tidak ada tiket dikeluarkan untuk beri kepada pelanggan yang membuat tempahan,” ujarnya yang juga merupakan pelajar UiTM yang melakukan bisnes itu separuh masa bagi mendapatkan pendapatan untuk menanggung perbelanjaan di universiti.

Sementara itu, seorang guru, Mashitah Rebo, 50, berkata, dia kini rungsing apabila sering mengingatkan pelajaran anaknya di Mesir akan terganggu gara-gara sikap Mashitah yang turut menipu anaknya yang juga seorang ejen.

Ibu mangsa, Mashitah Rebo, 50 bercakap pada sidang media PPIM berkaitan penipuan seorang wanita yang mengaku anak seorang Tan Sri menyebabkan kerudian bernilai 3.5 juta di Villa Puteri, Kuala Lumpur. foto IMRAN FAKHRI, 27 FEBRUARI 2018.

Katanya, seorang pelanggan ada memaklumkan kepada anaknya mengunggut untuk memalukan dirinya di sekolah sekiranya dia tidak dapat kembalikan semula wang yang telah dikeluarkan untuk membeli tiket penerbangan untuk menunaikan umrah.

“Saya rungsing pelajaran anak saya akan terganggu gara-gara perkara ini. Pelanggan itu hanya mahukan duitnya kembali. Tapi, bagaimana anak saya harus memulangkan, sedangkan dia sendiri ditipu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast