Kerja-kerja memulakan pembinaan terowong selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Kerja Pembinaan Terowong MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya di Stesen MRT Bandar Malaysia, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 01 MAC 2018.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan kerja-kerja terowong bawah tanah untuk Laluan MRT Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) di Bandar Malaysia di sini.

Najib diberi penghormatan memulakan kerja mengorek dengan menggunakan mesin pengorek terowong besar yang akan mengorek tanah sejauh 13.5 kilometer dari seksyen bawah tanah garis SSP yang mempunyai jajaran keseluruhan sejauh 52.2 kilometer.

Laluan SSP adalah yang kedua di bawah projek MRT Lembah Klang dan akan bermula dari Sungai Buloh ke Putrajaya melalui Kepong, Batu, Jalan Ipoh, Titiwangsa, KLCC, Tun Razak Exchange, Bandar Malaysia, Sungai Besi, Serdang, UPM dan Cyberjaya.

Projek tersebut akan meliputi pembinaan 35 buah stesen yang mana 11 daripadanya akan berada di bawah tanah.

Projek Talian SSP sedang dibangunkan oleh Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) manakala MMC Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd bertanggungjawab untuk kerja-kerja bawah tanah.

Mesin pengorek terowong yang dibuat di Jerman, mula mencipta sejarah apabila ia digunakan untuk kerja-kerja terowong Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang (SBK).

Hadir sama pada majlis pelancaran itu Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Seri Sharil Mokhtar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast