SPRM

PUTRAJAYA – Seorang jurutera Petronas Chemical Group bersama isterinya yang disyaki menerima rasuah berjumlah kira-kira RM361,000 daripada syarikat kontraktor berjaya dicekup Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia hari ini.

Pasangan itu disyaki terlibat dalam perbuatan itu bagi melakukan kerja pengujian terhadap paip-paip yang dipasang di projek Sabah Ammonia Urea (SAMUR), Sipitang, Sabah pada tiga tahun lalu.

Menurut sumber, pasangan suami isteri masing-masing berusia 58 tahun dan 49 tahun ditahan di rumah mereka di Shah Alam, Selangor pada pukul 2 petang tadi.

Sumber memberitahu, suspek yang merupakan pengurus kawalan kualiti atau analisis kualiti (QA&QC) projek berkenaan ketika itu disyaki telah meminta dan menerima rasuah sebagai upah melantik syarikat sub-kontraktor kepada kontraktor utama bagi menjalankan kerja-kerja tersebut.

“Pembayaran rasuah tersebut dimasukkan ke dalam akaun peribadi suspek dan akaun syarikat isterinya sebagai upah bagi melantik Syarikat berkenaan bagi melaksanakan projek tersebut,” Ujarnya.

Dalam pada itu Pengarah Kanan Jabatan Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd Ghani telah mengesahkan penahanan pasangan suami isteri itu.

Beliau memaklumkan pihak menjalankan siasatan ke atas kedua-dua suspek di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

“Setakat ini pihak kami telah membuka dua kertas siasatan berhubung kes terbabit.

“Malah sebanyak 12 rakaman pernyataan telah diambil daripada individu-individu berkaitan bagi membantu siasatan kami untuk tindakan lanjut.

“Kedua-dua suspek itu akan dihadapkan ke mahkamah Putrajaya esok untuk permohonan reman meneruskan siasatan,” tegas beliau.- MalaysiaGazette