KUALA LUMPUR – Lim Guan Eng berkeras tidak akan memohon maaf kepada Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berhubung isu terowong dasar laut.
Ketua Menteri Pulau Pinang itu bertegas tidak mahu memohon maaf kepada Abdul Azeez yang memberi kata dua kepadanya sama ada meminta maaf secara terbuka atau dikenakan tindakan saman fitnah.
“Minta maaf pada siapa? Azeez Rahim? Tolonglah!” katanya di Parlimen hari ini.
Menurut Pengerusi Lembaga Tabung Haji itu, surat tuntutan tersebut sudah dihantar ke pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang dan juga kediaman Ketua Menteri, petang semalam.
“Saya bagi tempoh empat hari untuk Guan Eng mohon maaf secara terbuka di depan media atau saya akan teruskan saman fitnah ini,” tegasnya.
Tambah beliau, dalam tuntutan saman yang dihantar oleh peguam kepada Guan Eng adalah supaya Ketua Menteri Pulau Pinang itu menarik balik semua kata-kata fitnah terhadap dirinya, Umno dan Tabung Haji termasuk rakyat Baling.
Sebelum ini syarikat kontraktor, Konsortium Zenith Construction Sdn Bhd telah memohon maaf dan menarik balik tuduhan rasuah ke atas Abdul Azeez berhubung projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.- MalaysiaGazette
Guan Eng diberi tempoh 4 hari tarik balik fitnah – Azeez Rahim