Sawarak state election government assembly Abang Johari Tun Openg.
Abang Johari Tun Openg

KUCHING – Syarikat minyak dan gas milik penuh Sarawak, Petroleum Sarawak (Petros) telah ditubuhkan secara rasmi hari ini.

Itu pengumuman Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, anggota lembaga pengarah Petros sudah dilantik dan mereka terdiri daripada profesional kelahiran Sarawak yang berpengalaman dalam industri minyak dan gas.

Tiada seorang pun daripada mereka adalah ahli politik, katanya.

“Malam ini, saya ingin memaklumkan kepada anda bahawa kita telah menubuhkan secara rasmi syarikat minyak kita, Petros,” katanya ketika berucap kepada staf kementerian dan pejabat beliau pada majlis makan malam penghargaan di sebuah hotel di sini.

Bagaimanapun beliau tidak menyatakan nama anggota lembaga pengarah, pengerusi atau ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat itu.

Penubuhan Petros merupakan langkah yang julung kali diambil kerajaan negeri bagi membolehkan Sarawak melibatkan diri secara aktif dalam pengeluaran minyak dan gas.

Sarawak juga , katanya, meneruskan permohonannya bagi mendapatkan 20 peratus royalti daripada Petronas.

Sementara itu, Abang Johari juga berkata ketua pegawai eksekutif Development Bank of Sarawak (DBOS) yang baru ditubuhkan telah dilantik dan bank itu akan memulakan operasinya tidak lama lagi.

Katanya semua anggota lembaga pengarah DBOS adalah profesional dan bukan ahli politik, dan dipengerusikan Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri.

Yayasan Sarawak pula, katanya, akan menambah biasiswa dan pinjaman kepada pelajar negeri itu yang layak memasuki universiti tempatan dan luar negara bagi mengikuti pengajian di peringkat lepasan ijazah.

“Sebuah majlis penyelidikan negeri dengan dipengerusikan Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi akan ditubuhkan bagi menyelia semua usaha penyelidikan pada masa akan datang dan bagaimana ia boleh memberi manfaat kepada negeri ini,” kata Abang Johari.-MalaysiaGazette