KUALA LUMPUR – Jemaah Masjid Sungai Plong dekat Sungai Buloh malam tadi gempar apabila seekor babi jantan masuk ke dalam masjid ketika mereka mahu menunaikan solat Isyak.

Babi tersesat itu sebelum itu mengejar kanak-kanak diluar masjid dan kemudiannya memasuki dewan solat.

Haiwan itu dikatakan cedera dikepalanya mengamuk dan menyondol seorang jemaah hingga cedera, kata imam masjid berkenaan,Ungku Ahmad Hazwan Ungku Kamarudin dalam media sosial masjid berkenaan.

“Ramai jemaah berusaha menyelamatkan diri dan ada diantara mereka berusaha menghalau binatang tersebut keluar dari dewan solat.

“Setelah berjaya diumpan keluar, binatang tersebut menumbangkan dua buah motosikal dan akhirnya ditembak oleh seorang ahli jemaah yang memiliki senapang patah,” katanya lagi.

Menurut Ungku Ahmad Hazwan, pihak polis juga dihubungi pihak masjid.

Bagi menyelesaikan masalah itu, pihak masjid telah menghubungi pihak Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi membantu menyelesaikan masalah ini.

“Mereka akan hadir esok bagi membuat penilaian berkaitan masalah sertu dan karpet masjid.
Pada ketika ini, urusan solat diteruskan seperti biasa di ruang solat yang tidak terjejas.-MalaysiaGazette