Jamal Md. Yunos memakai tuala semasa membantah isu air di SUK Selangor di Shah Alam.

KUALA LUMPUR – “Jika masalah air di Selangor masih berlarutan hingga 8 Mac ini, saya akan bertuala kali kedua di hadapan pejabat SUK untuk menumpang mandi,” kata Pengerusi Gabungan NGO 1Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Jamal juga menjemput rakyat Selangor khususnya di Lembah Klang bersama beliau bertuala untuk menumpang mandi di pejabat Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum pergi ke tempat kerja pada Jumaat ini.

“Saya akan sekali lagi bertuala ke SUK nak menumpang mandi kerana hari ini pun air sudah tiada di rumah saya kerana saya tidak menyimpan tong-tong air yang besar.

“Jumaat ini saya minta rakyat Malaysia beramai-ramai datang pakai tuala bawa sabun, syampu datang ke pejabat Menteri Besar, mungkin di sana bekalan airnya tidak putus.

“Kita mandi beramai-ramai dekat SUK, kita nak tengok SUK ini ada air ataupun tidak,” katanya ketika ditemui pemberita di Mahkamah Tinggi Sivil, di sini, hari ini.

Pengeruri Gabungan NGO 1Malaysia (tengah) beredar selepas prosiding kes saman yang dikemukakan oleh bekas Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah kepada beliau di Mahkamah Tinggi Sivil, Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Air Selangor bahawa sebanyak 427 kawasan di sekitar Lembah Klang akan mengalami gangguan bekalan air berikutan kerja pembaikan peralatan kritikal selama 10 jam di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3), bermula semalam.

Antara kawasan yang terbabit adalah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Langat.

Jamal selaku Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar berkata, beliau menjadi mangsa ketiadaan bekalan air apabila Restoran Makanan Percuma yang diusahakannya di Jalan Pahang terpaksa ditutup sejak semalam.

“Saya mengusahakan Restoran Makanan Percuma dan hari ini hari kedua terpaksa tutup kerana tiada bekalan air dan dijangka esok pun tiada air lagi,” katanya.

Jamal kesal apabila isu bekalan air berulang ini didakwa berpunca daripada tindakan Mohamed Azmin yang terus berdolak-dalih dalam pembinaan Projek Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2).

“Sejak lapan tahun lepas krisis itu akan berlaku bermula pada 2015 dan akan kritikal pada 2019 dan 2020, sehingga rakyat Selangor ini akan menjadi seolah-olah pengemis air.

“Amaran ini telahpun diberikan oleh kementerian dan jabatan berkenaan tetapi kerana politik dan mahukan keuntungan kepada poket mereka sendiri.

“Ini kerana kontraktor yang menjalankan kerja-kerja pembinaan Langat 2 ini terdiri daripada kontraktor yang mereka lantik, akhirnya rakyat Selangor dan Lembah Klang menanggung akibatnya,” katanya. – MalaysiaGazette