Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sambil diiringi Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Datuk Seri Idris Jusoh dan Pengerusi PTPTN, Datuk Dr. Shamsul Anuar melihat pertukaran memorandum diantara Pengarah Eksekutif Kolej Maritus, Hisyam Tan Seri Halim dan Ketua Pegawai Eksekutif Air Asia Berhad, Riad Asmat pada Sambutan 20 tahun Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Pusat Konvensyen Sime Darby, Jalan Bukit Kiara, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 08 MAC 2018

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengadakan kerjasama dengan Prestariang Systems Sdn. Bhd. untuk membantu peminjam yang gagal mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian.

Program Job Matching PTPTN ini khusus kepada lebih 300,000 orang yang masih belum pernah membuat bayaran balik.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama tersebut mampu membantu peminjam mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian dengan segera.

Jelas beliau, satu portal akan disediakan untuk membolehkan para peminjam membuat permohonan jawatan kosong di laman tersebut.

“Kita tahu ada graduan yang tidak boleh membayar pinjaman kerana masih belum mendapat pekerjaan jadi melalui program Job Matching PTPTN, mereka boleh mendaftar dan membuat padanan pekerjaan yang bersesuaian mengikut kelulusan dan pengalaman masing-masing,” katanya semasa berucap merasmikan Majlis Sambutan 20 tahun PTPTN di sini hari ini.

Para peminjam yang mendaftar di portal berkenaan akan melalui dua proses saringan iaitu saringan pertama yang melibatkan padanan kelayakan akademik, pengalaman dan minat peminjam dengan jawatan kosong yang disediakan, katanya.

Saringan kedua pula melibatkan pengaturan temuduga di antara majikan dan peminjam yang melepasi saringan pertama.

Bagi peserta yang berjaya sepenuhnya akan terus ditawarkan kerja manakala mereka yang memerlukan kemahiran tambahan akan diberikan tawaran bersyarat iaitu perlu melalui latihan kemahiran tambahan.

Latihan tersebut akan diadakan di institusi pengajian tinggi awam dan swasta, politeknik atau kolej komuniti.

Dengan itu, PTPTN menyediakan peruntukan awal sebanyak RM20 juta bagi membiayai latihan kemahiran tambahan tersebut secara percuma kepada 10,000 peminjam terawal.

Ini khusus bagi latihan yang tidak melebihi RM2,000 manakala bagi latihan melebihi RM2,000 pinjaman akan disediakan.

“Diharapkan peminjam PTPTN yang masih mencari pekerjaan akan mengambil peluang yang disediakan ini.

“Sebenarnya, inisiatif ini bagi membantu graduan mendapat peluang pekerjaan secepat mungkin agar komitmen pembayaran balik hutang dapat dilunaskan dengan berkesan,” kata Ahmad Zahid lagi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast