Kontrak Ketua Setiausaha Perbendarahaan (KSP), Tan Sri Irwan Serigar Abdullah dipendekkan kepada 14 Jun ini dan berkuatkuasa hari ini beliau dipindahkan ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Kontrak Ketua Setiausaha Perbendarahaan (KSP), Tan Sri Irwan Serigar Abdullah dipendekkan kepada 14 Jun ini dan berkuatkuasa hari ini beliau dipindahkan ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

KUALA LUMPUR- Kerajaan akan menanggung kehilangan hasil negara berjumlah RM416.6 bilion jika Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), tol, pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan duti eksais dimansuhkan, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Beliau berkata, pemansuhan GST akan menyebabkan negara kehilangan RM45 bilion manakala tol (RM338 bilion), PTPTN (RM3.9 bilion) dan duti eksais (RM2.4 bilion).

Katanya, pemansuhan itu juga akan menjadikan hutang negara semakin meningkat.

“Kita akan kehilangan RM45 bilion jika mansuhkan GST. Ia satu angka yang besar dan kami tidak memperkenalkannya begitu sahaja, (tetapi) kami telah membuat kajian selama bertahun-tahun.

Beliau berkata, kerajaan tidak boleh melaksanakan program negara jika tidak mengutip hasil, dan apabila ekonomi berkembang, hasil meningkat dan negara dapat menanggung perbelanjaan.

Mohd Irwan Serigar turut menjelaskan terdapat 19 tol di Lembah Klang manakala 12 tol di luar Lembah Klang, dan jika dimansuhkannya secara berperingkat, kerajaan perlu menanggung sebanyak RM338 bilion.

“Jika dicampur jumlah tersebut dengan hutang negara sebanyak RM686 bilion, ia akan meningkat kepada RM1 trilion, menjadikan hutang negara naik kepada 78 peratus,” katanya sambil menambah hutang negara tidak boleh melebihi 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), yang kini pada paras kira-kira 50 peratus.

Mengenai PTPTN, Mohd Irwan Serigar berkata, kerajaan turut memberi pelepasan dengan tidak perlu membayar balik pinjaman tersebut jika skor pelajar itu bagus dan diskaun 10 hingga 20 peratus jika konsisten dalam membuat pembayaran balik.

Katanya, ekonomi negara berada di landasan yang kukuh dari segi pengurusan kewangan dan telah mencatatkan pertumbuhan 5.9 peratus pada tahun lepas.

“Kita menjangka ekonomi berkembang antara lima dan 5.5 peratus pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata kadar inflasi terkawal dan menjangka 2-3 peratus pada tahun ini manakala kadar pengangguran berada pada tahap yang rendah iaitu 3.4 peratus, selain ringgit semakin kukuh pada RM3.90 berbanding dolar AS.

“Kita akan kekalkan momentum ini,” katanya. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast