KUALA LUMPUR – Seorang anggota Exco Kerajaan Johor kekal dengan pendiriannya menolak cadangan Parti Amanah Negara (PAN) menubuhkan Universiti Sultan Ibrahim.
Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Kesihatan, Penerangan dan Pendidikan Negeri Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata, beliau kesal dengan kenyataan balas PAN berhubung keputusannya itu dengan mendakwa penolakan secara tergesa-gesa dari kerajaan negeri.
“Kenyataan itu bukan sahaja mengelirukan, malah menggambarkan dengan jelas betapa terdesaknya PAN serta kecetekan pemahaman mereka terhadap negeri Johor dan tawaran pendidikan yang ada di negeri ini.
“Pertama sekali, saya melahirkan rasa kesal. Baru-baru ini Sultan Johor telah memberi amaran keras agar nama Tuanku Sultan tidak dipergunakan untuk kepentingan politik. Malah, institusi kerajaan dan awam harus bergerak dan berkhidmat secara bebas daripada politik.
“Namun, inilah yang dilakukan oleh PAN. Ketika kita semua kabur dan tidak pasti sama ada mereka sebenarnya sudah mendapat perkenan istana secara teratur untuk mengabadikan nama Tuanku Sultan Ibrahim di universiti yang mereka ingin tubuhkan, mereka sudah terlebih dahulu menjaja nama tersebut dan mempolitikkannya.
“Ini adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan berniat tidak ikhlas serta mahu mengelirukan masyarakat dengan mengheret nama baik istana,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Menurut Ayub, biar apa pun alasan PAN berikan selepas ini untuk menjustifikasikan tindakan mereka menggunakan nama tersebut, beliau berpendirian bahawa cadangan itu masih tidak berasas dan tidak memperlihatkan keperluan sebenar di Johor.
Katanya, terdapat percanggahan yang ketara dalam pendirian itu, sedangkan sebelum ini wakil PAN sendiri dalam pelbagai forum, ceramah dan kenyataan yang tidak berhenti menghentam kerajaan negeri mendakwa ia gagal memacu ekonomi dengan baik sehingga ramai anak tempatan terpaksa bekerja di Singapura.
Namun, jelas beliau, hari ini, demi mewajarkan cadangan itu, dikatakan pula sektor perindustrian dan pembangunan Johor memuncak sehingga memerlukan sebuah universiti baharu untuk mengimbangi kerancakan dan kepesatan pembangunan Johor.
“Ia bukan sahaja menggambarkan sikap mereka yang bermuka-muka dan tidak sepakat. Lebih merisaukan, mereka nampaknya terang-terangan memanipulasi isu kepentingan dan keperluan anak muda Johor sebagai modal politik.
“Malah, kenyataan mereka secara tidak langsung mengakui dengan jelas Johor telah membangun dan bertumbuh dengan cukup pesat di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Justeru, di manakah kegagalan pemacuan ekonomi negeri yang mereka laungkan sebelum cadangan universiti ini?” soal beliau.