Pegawai Penyiasat UTK Semboyan 1 Malaysia, Syed Alwi Al Hadad Syed Mustaffa bercakap pada sidang media berkenaan penglibatan mereka di dalam laporan polis ke atas PPIM di Restoran Sanggul, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 14 MAC 2018

KUALA LUMPUR – Empat bekas kakitangan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendedahkan modus operandi yang didakwa digunakan oleh persatuan itu untuk menjana keuntungan hasil pembayaran pinjaman ah long.

Wakil kumpulan itu, Syed Alwi Al Hadad Syed Mustaffa mendakwa, PPIM menggunakan kaedah menetapkan jumlah pinjaman terlebih dahulu dengan ah long namun mengenakan pembayaran lebih tinggi kepada pengadu atau mangsa ah long.

Beliau menjelaskan bagaimana kes seorang wanita sebelum ini yang perlu membayar RM350,000 dan caj pentadbiran RM35,000 namun jumlah yang ditetapkan dengan ah long hanya RM160,000.

Padahal katanya, pengadu itu telah membuat pembayaran RM260,000 melibatkan seramai 64 ah long.

“Rupanya ada keuntungan dalam diam yang diambil daripada mangsa ah long.

“Saya lihat sendiri fail sulit di atas meja dan di depan saya. Inikah dinamakan perjuangan untuk membantu mangsa ah long? Ini zalim dan lagi menindas.

”Saya nasihat Iman Azmi (adik Yusuf Azmi) secara tutup dan bukan depan kakitangan untuk membetulkan keadaan ini namun enggan memulangkan baki pembayaran itu,” katanya yang sebelum ini merupakan Pegawai Penyiasatan Unit Tindakan Khas PPIM.

Pegawai Penyiasat UTK Semboyan 1 Malaysia, Syed Alwi Al Hadad Syed Mustaffa bercakap pada sidang media berkenaan penglibatan mereka di dalam laporan polis ke atas PPIM di Restoran Sanggul, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 14 MAC 2018

Beliau bersama tiga kakitangan yang lain iaitu Muhammad Fadhrul Yusoff, Mohd. Aliff Muhammad Iberahim dan Sairil Tuah hadir pada sidang media untuk membersih nama selepas Pengarah UTK PPIM, Yusuf Azmi membuat laporan ke atas mereka pada Isnin lalu.

Dalam laporannya itu, individu-individu terbabit didakwa telah mencuri dokumen-dokumen penting berkaitan ah long dan peribadi di syarikat konsultan PPIM yang diketuai Yusuf dengan cara menceroboh pejabat tersebut.

Yusuf turut mendakwa menjadi mangsa fitnah empat orang kakitangannya yang dikatakan mempunyai niat jahat untuk menjatuhkan imej dan maruahnya di mata masyarakat.

Mengulas lanjut, Syed Alwi Al Hadad menjelaskan mereka tidak pernah membawa lari fail-fail pengadu sebaliknya fail tersebut masih ada di pejabat PPIM.

Beliau berkata, mereka hanya mengambil salinan bukti-bukti transaksi bank yang telah diserahkan kepada polis selepas laporan dibuat oleh wanita itu.

“Yusuf pernah dakwa kata pernah tolong saya masa mula kerja di PPIM untuk urusan perpindahan keluarga saya dari Perlis ke Kuala Lumpur dan beri deposit masuk rumah di sini dengan anggaran berjumlah RM25,000.

“Saya tidak nafikan Yusuf pernah tolong saya namun jumlahnya tidaklah sampai RM25,000.

“Tapi apa pun nilai pertolongannya ia bukanlah harga diri saya untuk bersubahat untuk menindaskan mangsa ah long,” katanya yang menyertai PPIM sejak dua bulan lalu.

Sementara itu, Muhammad Fadhrul mengakui dia pernah mengeluarkan resit biasa berjumlah RM10,000 kepada pengadu namun UTK hanya membayar RM1,000 kepada ah long berhubungan pembayaran pinjaman.

Malah dia turut memberitahu telah membuat laporan kerana menerima ancaman dan ugutan selepas kes wanita itu terbongkar.

Pegawai Penyiasat UTK Semboyan 1 Malaysia, Syed Alwi Al Hadad Syed Mustaffa (dua kiri) bercakap pada sidang media berkenaan penglibatan mereka di dalam laporan polis ke atas PPIM di Restoran Sanggul, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 14 MAC 2018

“Lapan bulan saya kerja dengan Yusuf dan saya ada bukti keuntungan hasil daripada bayaran pinjaman along.

“Saya yang locked ah long untuk bayar berapa jumlah pinjaman tetapi tidak dibayar sepenuhnya. Ada kes saya locked tiada pinjaman dibayar kepada ah long namun pengadu tetap didesak untuk bayar dan tidak termasuk caj pentadbiran.

“Saya sedia beri kerjasama kepada pihak polis kerana yakin tidak melakukan apa-apa kesalahan. Namun kes ini tiada kaitan dengan Datuk Nadzim Johan (Ketua Aktivis) dan PPIM Keramat,” katanya.

Minggu lalu, seorang wanita menuntut PPIM membayar semula wang pinjaman ah long yang dibuat kepada persatuan itu berjumlah RM160,000.

Wanita berkenaan yang bekerja di sektor swasta mendakwa, sejak Disember tahun lalu dia sudah membuat empat pembayaran sebanyak RM250,000 kepada PPIM yang menjadi orang tengah mengendalikan urusan pinjaman kepada ah long.

Bagaimanapun, pekerja sektor swasta itu mendakwa dia mula berasa musykil sejak Januari lalu selepas sukar mendapat resit pembayaran daripada PPIM.

Hasil siasatannya, dia menemui bukti transaksi PPIM kepada ah long hanya baru RM90,000.

PPIM dalam satu kenyataan menjelaskan kes aduan wanita yang mendakwa persatuan tidak telus menguruskan bayaran pinjamannya kepada ah long di bawah kendalian Risk Group Consultancy.

Jelasnya, konsultan itu diuruskan oleh Pengarah Unit Tindakan Khas PPIM, Yusuf Azmi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. terlalu taksub bro Yusuf dengan ulama Suuk sampaikan semua duit disalurkan pada Hulamak Aji Eddi.. wallhualam… jgnlah kita terlalu membesarkan manusia dan taksub kepadanya.. melainakn allah dan rasulnya semata-mata tutup satu mata buka mata hati… #raiz3n

Comments are closed.