MOSCOW – Lapangan Terbang Rusia gempar seketika apabila ketulan jongkong emas bernilai hampir AS$378 (RM1.4 bilion) bertaburan selepas pintu sebuah pesawat kargo terbuka secara tidak sengaja ketika sedang dalam penerbangan.

Sekelip mata sahaja, kawasan itu dihujani warna keemasan berikutan jongkong yang seolah-olah jatuh dari langit.

Portal berita NBC melaporkan, pesawat Antonov dari Ukraine itu sedang dalam perjalanan selepas mengisi minyak di lapangan terbang Yakutsk di Siberia dengan membawa bahan logam berharga secara tiba-tiba terbuka pintunya.

Insiden yang berlaku semalam turut menggemparkan suluruh dunia berikutan kejadian seperti itu dianggap luar biasa dan jarang berlaku.

Dilaporkan, hampir 200 jongkong emas dari lombong Kupol bertaburan di atas landasan dengan berat logam sebanyak 9.3 tan.

Menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri, sekurang-kurangnya 172 ketul seberat 3.4 tan telah terjatuh manakala bakinya masih selamat dalam pesawat.

“Ketika pesawat terbang semakin tinggi, pintu kargo secara kebetulan rosak disebabkan pertukaran kargo dan sebahagian daripada bahan logam khususnya jongkong emas bertaburan di atas landasan.

“Ketika ini, kita telah menutup kawasan terbabit bagi membolehkan pihak kami mengumpulkan bahan berharga itu selain mengelak orang ramai menghampiri kawasan ini. Ini merupakan kejadian yang jarang sekali berlaku,” katanya.

Pesawat itu juga telah berpatah balik dan pihak berkuasa juga sedang menjalankan siasatan ketika ini.

Dalam pada itu, beberapa paparan video menjadi viral sekelip mata apabila menunjukkan ketulan besar berwarna emas dan keputihan memenuhi sedikit ruang landasan.

Yakustk ialah ibu kota wilayah Sakha dengan 300,000 penduduk dan terletak 450 kilometer dari lingkaran Artik. – Agensi