Ketua MCA merangkap Pengerusi BN Pandan, Datuk Leong Kok Wee bersama yang lain memegang placard menyelar tindakan kenyataan Rafizi Ramli yang berbaur penghinaan terhadap pengundi Pandan di pejabat MCA Pandan, Ampang, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 16 MAC 2018

KUALA LUMPUR – Penduduk-penduduk di kawasan Pandan terkilan dengan wakil rakyat mereka, Rafizi Ramli yang menyamakan mereka dengan haiwan.

Malah, mereka menganggap pemimpin mereka itu yang kini sedang menunggu masa hukuman untuk dipenjarakan sebagai individu yang cetek dan dangkal pemikiran.

Rata-rata penduduk yang ditemui berkata, sudah tiba masanya penduduk Pandan menyingkirkan calon Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 dengan memberi laluan kepada calon lain.

Ada juga dalam kalangan mereka mahu agar Pandan diambil alih oleh wakil rakyat daripada parti pemerintah ekoran peluang ketika diberikan kepada Rafizi mewakili PKR selama lima tahun telah disia-siakan.

Chay Kok Leong

Seorang penduduk Chay Kok Leong, 53, terkejut setelah membaca laporan sebuah akhbar Cina apabila ditulis Rafizi menyebut “meletakkan kucing menjadi calon pada PRU boleh memberi kemenangan kepada PKR”.

Katanya, Rafizi tidak sedar kata-katanya itu telah menyebabkan penduduk di kawasan Pandan yang merupakan pengundi-pengundinya rasa terhina.

“Apa maksud dia (Rafizi) berkata seperti itu. Adakah dia mahu menyamakan kami dengan haiwan iaitu kucing?

“Saya tak sangka dia boleh cakap seperti itu dan ia memang tidak wajar,” katanya.

Rakannya, Lee Cheng Fong, 67, turut menyokong pandangan tersebut dan mendakwa Rafizi sengaja membuka ruang untuk dirinya ‘dibuang’ oleh pengundi-pengundinya di Pandan.

Lee Cheng Fong

Ujarnya, penduduk di kawasan berkenaan tidak dapat memaafkan kesalahan yang telah dilakukan oleh Rafizi itu meskipun beliau membuat permohonan maaf secara terbuka.

“Kami tidak akan memaafkannya kerana apa yang disebut itu sangat melampau,” tegasnya.

Sementara itu warga emas, Teang Boon Hai, 74, juga kecewa dengan kata-kata yang dilontarkan oleh Rafizi ketika menjawab pertanyaan wartawan.

Tambahnya, sebagai wakil rakyat, Rafizi sepatutnya menjaga tutur kata ketika bercakap kepada umum tanpa menimbulkan sebarang salah faham yang boleh mengeruhkan keadaan

Teang Boon Hai

“Dia tidak boleh anggap ini sebagai perkara kecil kerana menyamakan manusia dengan haiwan merupakan satu tindakan biadap dan kurang ajar,” katanya lagi. – MalaysiaGazette