CPTPP
Gambar arkib: CPTPP

KUALA LUMPUR- Syarikat-syarikat Malaysia sepatutnya telah mula merangka strategi untuk merebut manfaat daripada Perjanjian Komprehensif untuk Kerjasama Trans-Pasifik (CPTPP) sebelum ia dilaksanakan pada hujung tahun ini.

Ketua Perbankan Komersial HSBC Malaysia, Andrew Sill berkata, para peniaga boleh menyemak semula hubungan perdagangan sedia ada bagi mengenal pasti jurang di mana terdapat potensi untuk membina hubungan baharu dan merebut peluang dalam pasaran pengguna yang berkembang pantas.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Andrew berkata, mereka sepatutnya melihat semula kepada rangkaian bekalan sekarang sama ada peringkat serantau mahu pun global dan menandakannya pada pautan CPTPP.

“Sesiapa yang berusaha ketika ini untuk memahami bagaimana perjanjian tersebut boleh memberi kesan kepada model perniagaannya akan mendapat manfaat yang banyak pada masa depan.

“Ini bukan sahaja penting kepada syarikat yang berpangkalan di salah sebuah negara anggota tetapi juga firma-firma yang melakukan perniagaan di rantau ini,” katanya.

Dengan itu, pemahaman yang mendalam terhadap CPTPP dan impaknya terhadap tarif setiap kumpulan barangan dan perkhidmatan adalah kritikal kepada firma-firma untuk menilai semula strategi harga mereka dan mengekalkan daya saingnya.-MalaysiaGazette