MANILA- Sebuah pesawat kecil terhempas di atas sebuah rumah di utara Manila hari ini dan mengorbankan sekurang-kurangnya tujuh mangsa.

Pesawat dua enjin Piper 23 Apache yang dikendalikan oleh Lite Air Express itu baru sahaja berlepas daripada sebuah lapangan terbang kecil berhampiran lokasi kejadian, kata jurucakap Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Filipina (CAAP), Eric Apolonio.

Pesawat tersebut membawa enam orang termasuk dua juruterbang dalam penerbangan ke Laog di barat daya Luzon.

Stesen Radio dZMM dan CNN Philippines melaporkan tujuh orang termasuk enam dalam pesawat terbunuh.

Tambah Apolonio, kesemua pesawat yang dikendalikan Lite Air Express digantung tugas bagi memudahkan siasatan susulan kejadian tersebut.

“Siasatan menunjukkan pesawat tersebut berlepas daripada landasan Lapangan Terbang Plaridel tetapi malangnya terhempas di sebuah kawasan perumahan,” kata seorang jurucakap polis Filipina, Ketua Superintendent, John Bulalacao dalam satu pesanan ringkas.

Polis dan CAAP tidak memberitahu butiran lanjut mengenai mangsa yang terkorban.- MalaysiaGazette