Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang (dua kiri) bersama Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (dua kanan) menunjukkan buku Manifesto Malaysia Sejahtera pada Majlis Pelancaran Manifesto Gagasan Sejahtera PRU-14 di Astana Banquet Hall, Cyberjaya, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 18 MAC 2018.

CYBERJAYA – Berikut adalah tawaran Manifesto Gagasan Malaysia Sejahtera:

1.     MENGHAPUSKAN  Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang membebankan rakyat dan menggantikannya dengan sistem percukaian yang lebih adil seperti Cukai Atas Simpanan Korporat dan Cukai Saham di Bursa Saham Malaysia.

2.     Melupuskan hutang peminjam-peminjam PTPTN yang sedia ada untuk meringankan bebanan anak muda sebagai satu inisiatif permulaan ke arah memberikan pendidikan percuma.

3.     Memberikan bantuan makanan asasi kepada golongan fakir dan miskin secara bulanan menerusi program It’aam Kebangsaan.

4.     Menawarkan bantuan sekali (one-off) sebanyak RM 2,000 sebagai modal kepada wanita bekerjaya untuk memulakan kerja dari rumah.ˆ

5.     Melaksanakan program bas sekolah percuma untuk membantu meringankan bebanan ibu-bapa.

6.     Memberikan bantuan pembelian kereta pertama di bawah 1300 kuasa kuda (1.3 liter) menerusi pengecualian duti eksais dan pembiayaan pinjaman tanpa faedah (Qardul Hasan).

7.     Mengurangkan harga rumah mampu milik antara RM50,000 sehingga RM180,000.

8.     Mengembalikan semula fungsi Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sebagai program untuk memperkasakan golongan miskin bandar dan luar bandar.

9.     Menstrukturkan semula kadar bayaran tol untuk mengurangkan kos hidup rakyat menerusi semakan semula perjanjian konsesi tol yang melebihi 15 tahun.

10.     Mewujudkan pentadbiran Malaysia yang bebas rasuah selaras dengan kehendak dan tuntutan syarak menerusi konsep tadbir urus yang berkonsepkan ‘Ubudiyyah, Mas’uliyyah dan Itqan (UMI).

11.     Memperkasakan peruntukan Islam sebagai agama persekutuan dengan melaksanakan tuntutan Islam sebagai al-Din iaitu sistem yang melengkapi seluruh aspek kehidupan.

12.     Menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar bagi semua mata pelajaran dalam sistem pendidikan negara.

13.     Mengembalikan sistem kuota di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi mengimbangi jurang pendidikan antara golongan kaya dan miskin, serta masyarakat bandar dan luar bandar.

14.     Mempertimbangkan semula pelaksanaan dasar pembangunan yang berupaya membasmi kemiskinan dan menyusun semula ketidak seimbangan ekonomi dalam kalangan masyarakat Malaysia.

15.     Membantu kerajaan-kerajaan negeri membuka rancangan-rancangan pembangunan tanah khususnya untuk golongan muda.

16.     Membangunkan penempatan baru mampu milik untuk generasi kedua dan ketiga Felda.

17.     Membantu golongan kurang upaya (OKU) menerusi pemerkasaan sistem sokongan berasaskan potensi dan keupayaan diri.

18.     Mewujudkan Pusat Komuniti Keluarga Sejahtera (PKKS) di setiap daerah dan lokaliti yang memerlukan untuk memberi khidmat kaunseling, perundangan, kemahiran, bimbingan agama dan latihan keibubapaan.

19.     Menyemak kembali nisbah anggota keselamatan berbanding populasi setempat untuk mengurangkan kadar jenayah.

20.     Menambah bilangan doktor pakar dan hospital pakar untuk memenuhi keperluan penduduk berasaskan nisbah yang disyorkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast