KIEV – Seorang jurutebang warga Ukraine yang didakwa Rusia menembak jatuh pesawat MH17 milik Malaysia Airlines ditemui mati di kediamannya.
Kapten Vladislav Voloshin sentiasa menyatakan beliau menjadi mangsa Rusia yang mana Barat melihat negara itu bertanggungjawab menembak jatuh pesawat tersebut.
Beliau yang berusia 29 tahun merupakan juruterbang pesawat pejuang Sukhoi, Su-25 Tentera Udara Ukraine ketika pesawat Boeing, B777 meletup di udara pada 17 Julai 2014 yang meragut 298 nyawa.
Laporan di Ukraine menyatakan, lelaki itu ditemui mati akibat kecederaan daripada tembakan senjata api di rumahnya di Mykolayiv. Pihak berkuasa Ukraine telah melancarkan siasatan pembunuhan walaupun laporan awal mencadangkan juruterbang itu membunuh diri.
Rakan kerja beliau melaporkan bahawa juruterbang itu berasa ‘sedih’, lapor Mail Online.
Isteri juruterbang itu berkarta, dia mendengar bunyi tembakan senapang dan berlari ke arahnya.
Laporan menyatakan, isreri juruterbang itu menghubungi polis dan ambulan namun pasukan paramedik tidak berjaya menyelamatkan nyawanya.
Selepas dakwaan Rusia itu dilakukan pada Disember 2014, Voloshin meletak jawatan. Beliau menjawat jawatan pemangku pengarah Lapangan Terbang Antarabangsa Mykolayiv sejak tahun lalu. – Agensi