LONDON – Rusia mempunyai stok agen saraf yang digunakan untuk menyerang seorang bekas perisik dan anak perempuannya lebih sedekad.
Setiausaha Luar, Boris Johnson turut menolak dakwaan Duta Rusia ke Kesatuan Eropah bahawa agen saraf itu kemungkinan dari United Kingdom.
Semalam, Vladimir Chizhov berkata, makmal Porton Down di Wiltshire mungkin menjadi sumber kepada agen saraf itu.
Bekas perisik Rusia, Sergei Skripal dan anak perempuannya, Yulia dilaporkan masih kritikal selepas diserang dengan senjata kimia itu.
Dua beranak itu ditemui terbaring di atas bangku di bandar Wiltshire pada 4 Mac lalu.
Perdana Menteri Britain, Theresa May mendakwa Rusia sebagai dalang dalam serangan tersebut.
Bagaimanapun, Presiden Rusia, Vladimir Putin kekal menafikan negaranya di sebalik serangan itu dan bersedia untuk memberi kerjasama kepada United Kingdom
Beliau memberitahu pemberita: “Mana-mana individu yang rasional tidak akan melakukan perkara yang tidak masuk akal ketika negaranya dalam ambang pilihan raya dan terlibat dalam Piala Dunia.”
Pakar dari Pertubuhan Larangan Senjata Kimia (OPCW) akan tiba di United Kingdom pada hari Isnin untuk menguji sampel bahan kimia.
Hasilnya dijangka mengambil masa seawal-awalnya dua minggu, kata Pejabat Luar Negeri.
Perdana Menteri UK Theresa May memberitahu anggota Parlimen bahawa Porton Down – pangkalan penyelidikan ketenteraan Britain – mengenal pasti bahan yang digunakan sebagai sebahagian daripada sekumpulan agen saraf gred tentera yang dikenali sebagai Novichok. – MalaysiaGazette