Home Ekonomi IHH bida beli hospital super khusus India

IHH bida beli hospital super khusus India

Medanta-Medicity, hospital super-khusus di India

NEW YORK-  IHH Healthcare Bhd., anak syarikat milik Khazanah Nasional Bhd. membida untuk membeli pegangan majoriti dalam sebuah hospital super-khusus, Medanta-The Medicity di Delhi, India.

Menurut dua orang sumber yang mengetahui mengenai urus niaga tersebut berkata, nilai bidaan bagi hospital mewah itu adalah di antara Rs5,500-Rs5700 crore.

Firma ekuiti swasta berpangkalan di Amerika Syarikat, Carlyle Group memiliki 27 peratus pegangan dalam Medanta manakala sayap pelaburan negara Singapura, Temasek Holdings Pte memegang 18 peratus lagi saham di dalam hospital berkenaan.

Baki pegangan hospital mewah itu dimiliki oleh seorang pakar bedah jantung, Naresh Trehan dan keluarga serta pengasas bersama Medanta, Sunil Sachdeva.

Pengambilan alih tersebut, sekiranya berjaya akan menjadi urus niaga terkini dalam sektor hospital di India selepas pelaburan berjumlah Rs1,300 oleh KKR dalam Radiant Life Care.

Temasek juga dikatakan berminat untuk menyertai bidaan tersebut dalam tempoh beberapa minggu akan datang, kata seorang lagi sumber yang enggan dinamakan.

Jurucakap IHH, Temasek dan Carlyle enggan memberi sebarang komen manakala emel yang dihantar kepada Trehan juga tidak dijawab.

Kumpulan penjagaan kesihatan terbesar Asia, IHH, telah meninjau peluang untuk mengambil alih Fortis Hospital beberapa tahun lepas dalam usaha untuk mengembangkan sayapnya di India.

Ia mungkin mengambil alih sebahagian pegangan menerusi pasaran awam dan bank, demikian media Mint melaporkan minggu lepas.

Ketika ini 80 peratus saham Fortis berada di pasaran awam manakala 20 peratus dipegang oleh bank pemberi pinjaman, Yes Bank Ltd dan Axis Bank Ltd.

Pengendali hospital dari Malaysia itu mempunyai kedudukan kukuh dalam sektor penjagaan di India apabila membeli 51 peratus pegangan dalam Continental Hospital Ltd dan 74 peratus pegangan dalam Global Hospital Pvt. Ltd pada 2015.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast