Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh

KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan perlu mengganti semula peruntukan RM8 bilion untuk rakyat Sabah yang ‘hilang’ didakwa disalahgunakan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh berkata, walaupun kes salah guna kuasa itu banyak kali dilaporkan pihak media, namun sehingga pihak berkuasa masih tidak mengambil sebarang tindakan ke atas Mohd Shafie.

“Saya mendengar secara jelas perbelanjaan yang dinyatakan KKLW tetapi saya sangat hairan, kenapa wang RM8 bilion yang disalahgunakan Ahli Parlimen Semporna sewaktu di KKLW, dalam surat khabar dan tv juga keluar, tetapi tidak ada tindakan diambil.

“Kerajaan Persekutuan sudah buat kesalahan, kami mahu minta ganti RM8 bilion ini, rakyat Sabah marah,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di Parlimen, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggeledah rumah Mohd Shafie yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) di Taman Golf View, Penampang, Sabah pada 21 Oktober 2017.

Tindakan itu berkaitan dengan siasatan kes penyelewengan dana awam bernilai RM1.5 billion yang disalurkan menerusi KKLW di Sabah.

Ismail Sabri Yaakob

Sementara itu, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan menyerahkan sepenuhnya kes berkenaan kepada Peguam Negara dan SPRM untuk menjalankan siasatan.

“Kita perlu yakin dengan kewibawaan SPRM untuk selesaikan tanggungjawab mereka. Saya percaya kalau ada kes, ia akan diserahkan kepada peguam negara dan tentu sahaja peguam negara akan ambil tindakan,” katanya.

Beliau memberi jaminan isu kehilangan dana awam itu bakal dibangkitkan dalam Kabinet untuk mencari penyelesaian demi menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat Sabah.

“Dari segi ganti, insya-Allah, perkara itu saya tidak boleh buat keputusan tetapi saya akan bangkitkan,” katanya lagi. MalaysiaGazette.