Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar (tiga kiri) melihat model kediaman yang ditawarkan pada Ekspo Jualan Perumahan Ke Arah Sejuta Impian, Alami Gaya Hidup Sejahtera di Dewan Tun Razak, PWTC, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 24 MAC 2018.

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan mengenakan sebarang syarat tambahan kepada pemaju sekiranya Barisan Nasional (BN) berjaya menawan semula Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Jaminan itu diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai langkah bagi mengurangkan beban rakyat ekoran peningkatan yang tinggi terhadap harga rumah di negeri berkenaan pada masa ini.

“Bila ada syarat tambahan oleh Kerajaan Negeri Selangor, maka kos perlu dipertingkatkan. Ini yang dialami pemaju di negeri itu.

“InsyaAllah, kalau kita diberi kepercayaan di Selangor, kita tidak akan tambah syarat-syarat bukan sahaja untuk Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) tetapi juga untuk pemaju-pemaju lain,” katanya.

Najib berkata demikian pada sidang media selepas melakukan kunjungan ke Ekspo Jualan Perumahan Edisi Nasional di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Najib yang menyentuh mengenai situasi yang berlaku di Pulau Pinang apabila kerajaan negeri itu mengenakan syarat yang pelik kepada pembeli ekoran perlu mendaftar sebagai pengundi di negeri tersebut terlebih dahulu.

Dalam pada itu, Najib berkata, komitmen kerajaan untuk mencapai sasaran pembinaan sejuta rumah mampu milik telah dapat dipenuhi dengan 139,338 rumah atau 12.5 peratus telah siap sepenuhnya.

Beliau berkata, sebanyak 311,281 rumah atau 28 peratus berada dalam pelbagai peringkat pembinaan serta bakinya berada pada peringkat perancangan dan pra kelulusan.

Hadir sama pada sidang media itu Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa; Pengerusi PR1MA, Tan Sri Dr. Alies Anor Abdul; Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Abdul Mutalib alias dan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Perumahan Negara Bhd., Datuk Ahmad Azizi Ali. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast