NEW YORK –  Sekorang pakar motivasi yang menyalahguna pertubuhan popular dikenali sebagai ‘NXIVM’ untuk menjalankan aktiviti perhambaan seks wanita akan didakwa di mahkamah hari ini.

Keith Raniere, 57, yang sebelum ini melarikan ke Mexico selama hampir lima bulan selepas kegiatan itu dihidu oleh pihak berkuasa akhirnya berjaya ditahan sebelum dibawa kembali ke Amerika Syarikat (AS) minggu lalu.

Raniere dari Waterfold, Texas yang juga dikenali sebagai ‘The Vanguard’ kerana sering mempamerkan dirinya sebagai penyelamat wanita, didakwa melakukan kegiatan pelacuran serta perhambaan seks yang boleh membawa hukuman penjara 15 tahun atau seumur hidup jika sabit kesalahan.

Raniere berselindung di sebalik kewujudan sebuah bengkel memperkasa diri dikenali sebagai Program Kejayaan Eksekutif yang ditubuhkan pada tahun 1988.

Pertubuhan NXIVM yang diasaskan oleh Raniere itu sangat popular bukan sahaja di Amerika Syarikat (AS), malah Kanada, Mexico dan Amerika Selatan sejak berpuluh tahun.

Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan polis Mexico mengesan kehadiran lelaki itu di sebuah villa mewah di pantai Pasifik selepas melarikan diri ke negara itu bersama wanita simpanannya, susulan pendedahan dibuat The New York Times, Oktober lalu.

Pegawai kanan FBI, Willian Sweeney berkata, Raniere menyalahguna kuasa dimiliki dengan cara cukup menjijikkan apabila memanipulasi golongan wanita sebagai hamba seks,  turut mencacah tatu berukir pangkal namanya di bahagian kemaluan semua mangsa.

Menurut Sweeney, kesalahan dilakukan Raniere adalah jenayah kemanusiaan yang serius dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

“Dia melakukan jenayah seks dengan bertopengkan pertubuhan terkenal, NXIUM untuk menjadikan wanita hamba seks. Tidak boleh dibiarkan begitu sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast