KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat meluluskan Usul Laporan Kajian Semula Persempadanan yang telah dibentang dan dibahaskan di Parlimen hari ini.

Laporan itu dibahaskan selama hampir dua jam 30 minit bermula 2.30 petang sebelum digulungkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sekitar pukul 5 petang tadi.

Setelah selesai perbahasan Timbalan Speaker, Datuk Seri Ronald Kiandee mengarahkan undian secara belah bahagi dijalankan ke atas usul Rang Undang-Undang (RUU) Kajian Semula Persempadanan hari ini.

Hasil pengiraan undi mendapati 129 orang bersetuju manakala 80 tidak bersetuju.

“Oleh kerana tak kurang daripada setengah bersetuju, maka usul ini disetujukan,” katanya sebelum menangguhkan persidangan Dewan Rakyat sehingga pagi esok.

Ia dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib RazakĀ  pukul 12 tengahari.

Selepas itu laporan itu dibahaskan seramai 14 orang iaitu masing-masing tujuh anggota Parlimen BN dan selebihnya pembangkang.

Ahmad Zahid dalam penggulunggannya menjelaskan, secara keseluruhannya Suruhanjaya Pilihan Raya telah mempertimbangkan kesemua bantahan termasuk 600 (36 peratus) representasi yang telah diadakan siasatan tempatan.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Zahid Hamidi ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Persempadanan Semula Kawasan Pilihan Raya di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia. foto HAZROL ZAINAL, 28 MAC 2018.

“Dalam hal ini, keputusan SPR adalah seperti berikut iaitu 1,041 (62%) representasi termasuk representasi sokongan diterima untuk dipertimbangkan, 545 (32% representsi telah ditolak dan 99 (6% ) representasi sebahagiannya diterima dan ditolak.

“Jumlah perbelanjaan untuk kajian semula persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Sabah ialah RM3.9 juta (2015) RM1.5 juta (2016) sekaligus berjumlah RM5,401,000,” katanya.

Namun Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Shafie Apdal (Warisan) mencelah dan mempersoalkan kenapa persempadanan dan penambahan kerusi Dewan Undangan Negeri yang dibuat baru-baru ini tidak disertakan dalam laporan tersebut.

Sebagai menjawab soalan itu, Ahmad Zahid berkata; “Ia telah diserahkan kepada PM pada 21 Februari lalu.

“Namun kuasa untuk membentangkan laporan akhir tertakluk kepada budi bicara PM selaras dengan Seksyen 9, Jadual 13 Perlembagaan Persekutuan,” tegas beliau.

Laporan itu akan dibawa untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V sebelum diwartakan untuk digunakan pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

Pembangkang yang jelas tidak berpuas hati dengan kelulusan usul persempadanan itu dan mereka bersikap tidak sopan mengangkat plakad sebagai tanda protes terhadap keputusan tersebut.- MalaysiaGazette