Home Utama Pegawai Imigresen palsu tumpas

Pegawai Imigresen palsu tumpas

Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali menunjukkan gambar suspek pada sidang media mengenai Pegawai Imigresen Palsu di Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 29 MAC 2018

KUALA LUMPUR – Individu tempatan yang menyamar sebagai Timbalan Penolong Pengarah Kanan Imigresen dan terlibat dalam pengeluaran dokumen palsu berkaitan warga Bangladesh, Indonesia dan majikan dalam laman media sosial Facebook, Instagram tumpas.

Suspek berusia 45 tahun itu dipercayai dalang utama sindiket dokumen palsu menyamar atas nama samaran James Tay dan melakukan kegiatan selama lebih lima tahun lalu di sekitar Lembah Klang berjaya dicekup sekitar 12.15 tengahari di Bandar Sunway, Petaling Jaya.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, suspek ditahan dengan pakaian Timbalan Penolong Pengarah Kanan Imigresen semasa melayan salah seorang pelanggannya berkaitan urusan berhubung dokumen pas lawatan sosial sementara, permit pembantu rumah,pasport dengan caj antara RM3,000 hingga RM5,000 seorang.

Mustafar Ali menunjukkan perbezaan pakaian seragam Pegawai Imigresen yang palsu pada sidang media mengenai Pegawai Imigresen Palsu di Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 29 MAC 2018

Katanya, suspek menempah baju penguatkuasa sendiri di kedai jahit selain kad kuasa, pas imigresen sendiri untuk tujuan penyamaran dan membekalkan dokumen palsu mensasarkan majoritinya majikan dan pekerja asing.

“Suspek menyebarkan perniagaan haram itu menerusi Facebook dan Instagram secara meluas mensasarkan mangsa yang majoritinya majikan dan pekerja asing yang mencari jalan mudah mendapatkan dokumen perjalanan, pas lawatan kerja sementara pekerja dengan senang atau mereka yang bermasalah seperti PLKS tamat tempoh atau lari dari majikan.

“Kita telah menjalankan risikan selama 3 bulan setelah menyedari dokumen palsu berleluasa, selain mendapatkan pengakuan sebilangan besar pekerja asing yang pernah berurusan dengan suspek sebelum menangkap suspek itu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai tinggi dari Putrajaya.

“Siasatan di kediaman suspek di Puchong Jaya dan merampas sembilan helai uniform Imigresen, sekeping pasport Indonesia, sekeping sijil Perjalanan Laksana Pasport, aksesori uniform Imigresen, dokumen permohonan pekerja asing, tujuh kad kuasa dan 13 pas imigresen,” katanya dalam sidang media khas di Jabatan Risikan Ibu Pejabat Imigresen di sini.

Tambah beliau, turut ditahan seorang mangsa yang pernah berurusan dengan suspek setelah mengakui dia hanya mengetahui bahawa Pas Lawatan Kerja Sementara yang dibuat suspek adalah palsu.

Mustafar Ali menunjukkan perbezaan pakaian seragam Pegawai Imigresen yang palsu pada sidang media mengenai Pegawai Imigresen Palsu di Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 29 MAC 2018

Dakwanya, pihaknya tidak menolak kemungkinan suspek yang merupakan dalang turut dibantu oleh rangkaian gelap yang memainkan peranan sebagai orang tengah sambil menegaskan penguatkuasa sedang menyiasat ke arah itu.

Beliau turut mengingatkan mana-mana pihak majikan atau pekerja asing yang pernah berurusan dengan sengaja atau tanpa menyedari urusan dokumen palsunya supaya tampil segera ‘menyerah diri dengan Imigresen serta merta untuk melicinkan siasatan.

‘Kita percaya ada rangkaian sindiket beroperasi dan sedang menyiasat ke arah itu, siapa yang memiliki dokumen palsu hasil urusan dengan James Tay sila tampil segera atau kami ada senarai data yang boleh mengesan dan tahan anda semua.

“Kita percaya ada yang mungkin merasakan cara urusan dokumen dengan James Tay ini betul. Kalau nak pun patut berurusan terus dengan Imigresen terus dan bukannya dengan orang tengah palsu sebegini di kedai kopi, tepi jalan atau dalam kereta,” ujarnya.

Mustafar juga mengakui suspek James Tay menggunakan pakaian uniform berbeza ketika berurusan dengan setiap pelangganya warga asing dan majikan untuk mudah meyakinkan mereka dengan kegiatan haram tersebut selain sukar dikesan penguatkuasa sebenar.

Suspek kini ditahan kerana melakukan kesalahan dibawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast