Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berbual dengan pemilik PPA1M, Zailani Surip (dua kanan) bersama isteri, Hazlina Buyong (kiri) ketika melawat rumah PPA1M pada Majlis Penyerahan Kunci Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) Metropolitan Kepong di Kepong, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 29 MAC 2018.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak menggariskan tiga manfaat yang diperoleh pemilik Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M).

Antara yang digariskan Perdana Menteri adalah peluang bagi mereka memiliki kediaman idaman.

Menurut beliau, manfaat kedua pemilik PPA1M adalah kawasan perumahan selesa yang dilengkapi pelbagai kemudahan dan ketiga, golongan itu mendapat aset yang akan meningkat harganya secara berterusan.

“Bagi penjawat awam, kebajikan mereka sentiasa dijaga oleh kerajaan. Untuk golongan tersebut, sebanyak 35,752  unit rumah PPA1M telah siap dibina atau dalam pelaksanaan setakat ini manakala 106,000 unit lagi dalam perancangan.

“Inilah kejayaan usaha kerajaan khususnya untuk manfaat penjawat awam dan rakyat kerana kerajaan sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat,” katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) Metropolitan Kepong di sini hari ini.

PPA1M Metropolitan Kepong yang dilancarkan Najib pada 2016 dibangunkan oleh JL99 Holdings Sdn. Bhd. di atas tapak seluas 8.2 ekar (3 hektar) bersebelahan Lebuh Raya Lingkaran Tengah Dua (MRR2), bertujuan membantu penjawat awam memiliki kediaman lebih murah di bawah harga pasaran.

Kediaman yang ditawarkan berkeluasan 850 kaki persegi (kps), 1,000 kps, 1,200 kps dan 1,500 kps dengan harga jualan masing-masing RM90,000, RM150,000, RM240,000 dan RM300,000.

Perumahan yang melibatkan 1,230 unit pangsapuri dengan masing-masing mempunyai tiga atau empat bilik dilengkapi pelbagai kemudahan seperti kedai runcit, kedai dobi, taman permainan kanak-kanak, surau, dewan serbaguna dan klinik.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan telah menetapkan sasaran untuk membina 200,000 unit rumah PPA1M yang dijangka siap dalam tempoh beberapa tahun lagi.

“Bagi setiap unit PPA1M, kerajaan menyediakan subsidi yang agak besar terhadap kawasan atau projek tertentu,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ketua Setiausaha Negara,Tan Sri Dr. Ali Hamsa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast