Home Utama PRU14: BN diramal terus berkuasa

PRU14: BN diramal terus berkuasa

Para panel wacana (dari kiri) Profesor Jayum Jawan, Profesor Jayum Jawan, Profesor Madya Mohd Izani Mohd Zain dan Dr. Mohd Mahadee Ismail sempena Program Wacana Intelek: PRU-14: Apakah pilihan rakyat Malaysia? di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 05 APRIL 2018.

SERDANG – Barisan Nasional (BN) dijangka terus kekal sebagai pemerintah selepas Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, meskipun parti itu dihimpit dengan pelbagai isu oleh pembangkang ketika ini.

Pakar-pakar dari Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) berpendapat, tuduhan yang dilemparkan oleh pembangkang ke atas parti pemerintah hanya bersifat sementara dan tidak mampu mempengaruhi pengundi untuk membuat keputusan supaya menolak kerajaan.

Malah, pemberian-pemberian tertentu yang diumum untuk rakyat sejak dari PRU lalu secara tidak langsung menjadi ‘penyelamat’ kepada pemerintah untuk terus kekal mentadbir negara ini.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Mohd Mahadee Ismail berkata, pemberian kerajaan dalam bentuk kewangan yang dianggap ‘gula-gula’ sebenarnya memainkan peranan besar terhadap undi rakyat pada PRU14 nanti.

Dengan memberikan contoh, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), kenaikan gaji penjawat awam yang diumumkan oleh perdana menteri semalam dan lain-lain lagi mempengaruhi pengundi dalam menentukan pilihan untuk membuat keputusan ketika membuang undi.

“Sejak dari PRU yang lalu, itu sudah menjadi kebiasaan. Kalau tidak ada ‘gula-gula’, ia macam pelik pula.

“Ini adalah benda-benda asas yang saya kira rakyat Malaysia sudah boleh menerima gula-gula itu.

“Apa yang diperkatakan di media sosial dan kedai kopi serta surau ia berkisar kepada sentimen yang berlaku hari ini,” katanya ketika menjawab soalan moderator pada program Wacana Intelek yang bertajuk PRU14: Apakah Pilihan Rakyat Malaysia di sini hari ini.

Wacana tersebut diadakan bagi membahaskan perkara penting berhubung pilihan raya yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Forum itu dipengerusikan oleh Profesor Zaid Ahmad yang merupakan pensyarah di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Pensyarah Kanan fakulti sama Mohd Izani Mohd Zain ketika menjawab soalan berkata, pola pemikiran rakyat Malaysia terhadap politik di negara ini masih lagi berkisar kepada bentuk perkauman.

Perkara itu katanya, dapat dibuktikan melalui struktur organisasi yang terdapat dalam parti DAP apabila parti itu dimonopoli sepenuhnya oleh kaum Cina.

“Walupun kita lihat DAP yang memperakukan bahawa mereka parti multi etnik tetapi 69 peratus kepimpinannya adalah Cina.

“Tidak seperti parti UMNO yang secara terang-terangan memperjuangkan kepentingan Melayu dengan tidak meminggirkan MCA, MIC dan sebagainya. Kita akui politik kita ini masih perkauman,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi panel wacana berkenaan Jayum Jawan berkata, perubahan undi oleh setiap kaum di negara ini bergantung kepada status quo.

Katanya, BN boleh mendapat sokongan majoriti daripada kaum Melayu di Semenanjung termasuk Sabah dan Sarawak.

Ini kerana katanya, sokongan Melayu yang terdiri daripada masyarakat luar bandar sudah membantu BN mendapat majoriti undi mengekalkan kuasa.

“Keputusan PRU boleh menyebelahi BN dengan majoriti mudah.

“Isu yang dikaitkan dengan 1MDB dan sebagainya tidak penting bagi orang luar bandar asalkan mereka dapat apa yang diberi oleh kerajaan.

“BR1M adalah perkara yang terbaik kerana ia diterima secara terus,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast