Pemimpin tidak pernah ambil iktibar apa yang dilakukan jentera parti, asal kalah, pengundi luar dipersalahkan.,

PERDANA Menteri sudah umum tarikh pembubaran Dewan Rakyat. Katanya, esok (8 Mac bersamaan Sabtu).

Dengan pengumuman itu, maka lenyaplah segala ramalan dan bunyi-bunyi bising pasal bila nak bubar, bila nak umum calon dan bila nak mengundi.

Lepas ni, tugas yang dipikul untuk menjalankan proses pilihan raya ialah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Badan bebas itu akan umumkan tarikh penting seperti hari penamaan calon, hari mengundi awal dan hari mengundi biasa.

Kita sebagai rakyat, perkara pertama yang perlu disemak ialah adakah kita pendaftar pemilih atau dengan kata lain, pengundi berdaftar.

Kalau kita belum berdaftar sebagai pemilih, tak perlulah sibuk-sibuk bercakap pasal sistem pilihan raya atau buat-buat sibuk nak keluar mengundi.

Sebut pasal pilihan raya ni, saya ada dua kali pengalaman sebagai pengundi luar. Masuk dengan PRU ini, maka tiga kalilah saya bergelar pengundi luar.

Menjadi pengundi luar tidak ada apa-apa istimewa sangat. Malah, sering menjadi mangsa kepada kegelojohan pihak tertentu dalam parti yang mendakwa kekalahan parti kerana pengaruh pengundi luar.

Pengundi luar selalunya dipandang serong oleh segelintir pemimpin. Kononnya, kerana pengundi luar, punca parti mereka kalah tetapi mereka tidak pernah sesekali hendak menyiasat apa sebenarnya berlaku sehingga menyebabkan pengundi luar merajuk.

Ketika di perantauan, pengundi luar sentiasa diuar-uarkan oleh pemimpin perhubungan negeri  parti akan imbuhan atau ‘duit poket’ yang bakal diperolehi jika pulang ke tanah air untuk mengundi.

Di perantauan juga nama pengundi luar ‘direkodkan’ oleh urusetia berkenaan. Mereka beberapa kali memberi ingatan dan pesanan, “jika balik nanti, terus jumpa si polan-si polan atau si anu-si anu untuk ‘claim’ duit minyak atau duit tambang pengangkutan di lokasi sekian-sekian”.

Itulah janji dan pesanan urusetia kepada pengundi luar dalam perjumpaan dengan anak-anak perantau di perantauan beberapa minggu sebelum hari mengundi.

Bila tiba hari mengundi, apabila pengundi luar sudah sampai ke tempat mengundi, pertamanya, mereka mencari si polan-si polan atau si anu-si anu di lokasi yang dinamakan oleh urusetia sebelum ini.

Habis satu kawasan kami mencari si polan dan si anu, tidak ketemu. Hati dah mula berprasangka buruk. Rasa seperti dipermainkan. Kami membuat andaian, segala pesanan dan janji manis pada hari perjumpaan di perantauan sebelum ini hanyalah retorik. Mereka gunakan janji manis itu semata-mata untuk memikat kami balik mengundi.

Memang betul pengundi luar sudah terlanjur balik. Tapi, perlu ingat pengundi luar juga manusia sama seperti pihak urusetia.

Kalau urusetia liar, boleh songlap duit poket yang dikhaskan untuk kami, apa kurangnya kebijaksanaan kami pengundi luar.

Bagi kami, biasa sahaja ulang alik dari negeri perantauan ke negeri kelahiran. Bukan hari mengundi pun kami selalu balik kampung jengok ahli keluarga tapi dalam bab mengundi, kepulangan kami adalah atas nama ‘pengundi luar’, dan kami selalunya diberi imbuhan seperti duit minyak dan duit tambang.

Itu yang dijanjikan pihak urusetia parti. Bukan kami yang minta. Kami telah dijanjikan oleh pucuk pimpinan. Kami beberapa kali dingatkan dan diberi pesan agar berjumpa dengan si polan dan si anu untuk urusan tuntutan.

Kalau urusetia menyonglap duit tuntutan kami, kiranya jangan menyesallah kalau ada sesetengah dari kami membuat ‘u-turn’. Memberi undi kepada calon lawan. Siapa yang rugi? Parti atau pengundi luar?

Saya dua kali berputih mata akibat termakan janji urusetia. PRU 12, saya balik dua hari awal untuk mengundi. Tiba hari mengundi, pihak yang dikatakan mengurus ‘imbuhan’ kepada pengundi luar lesap entah ke mana.

Walaupun tidak mendapat apa-apa imbuhan seperti dijanjikan, pada hari mengundi, saya tetap memangkah parti yang didukung oleh urusetia.

Saya tetap senyum bila habis mengundi, dengar kawan-kawan yang senasib berbicara (nada merungut dan marah-marah). Bagi saya, apalah sangat setakat RM100 tu. Belanja minyak pergi balik Kuala Lumpur ke Kelantan pun sudah RM200. Belum kos makan minum lagi.

Jadi, RM100 yang ‘ditawarkan’ oleh urusetia parti tu, kecil sangat-sangat. Tidak berbaloi kalau saya sebagai pengundi luar nak merungut atau marah-marah kerana tidak dapat imbuhan itu.

Tiba PRU-13 pun saya dan rombongan pengundi luar dijanjikan perkara yang sama. Kami dipesankan agar berjumpa dengan si polan-si polan di lokasi sekian-sekian untuk daftarkan nama sebagai pengundi luar dan dapatkan ‘duit minyak’ atau ‘duit tambang’ daripada si polan itu.

Sama juga ‘trend’nya. Tiba hari mengundi, si polan yang dibekalkan berbungkus-bungkus duit ‘lari’ menghilangkan diri. Tinggalkan pengundi luar terkontang-kanting di lokasi yang dinyatakan.

“Tak apalah, kamu permainkan kami, kami permainkan kamu. Undi kami tentunya kepada calon lawan. Kenapa kami perlu rasa menyesal memberi undi kepada calon lawan kalau kami dipermainkan oleh parti kami sendiri?,” rungut seorang sahabat.

Tindakan kami dikecam. Dikatakan tidak patriotik. Tetapi bagaimana dengan tindakan urusetia yang tidak amanah? Apa pucuk pimpinan nak copkan kepada golongan barua ini? Masihkah nak pertahankan tindakan mereka songlapkan duit parti sehingga parti menerima balasan dari tindakan agresif pengundi luar?

Sepatutnya pucuk pimpinan ambil ikhtibar dengan kejadian ini. Ia bukan pertama kali berlaku. Ia sudah berlaku dua kali. Dan tidak lama lagi akan diadakan PRU14. Adakah pengundi luar yang sudah dua kali terkena itu masih mahu memegang janji kali ketiga? Fikir-fikirkanlah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast