Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak melaungkan Barisan Nasional Hebat selepas membacakan manifesto sambil diiringi Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Barisan Nasional, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mangsor serta barisan kepimpinan parti komponen BN mengibarkan bendera BN bersama penyokong-penyokong BN pada Pelancaran Manifesto Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 07 APRIL 2018

KUALA LUMPUR – Manifesto Barisan Nasional (BN) yang dipersembahkan kepada rakyat Malaysia malam ini disifatkan sebagai manifesto paling terbaik pernah diumumkan sepanjang 14 kali Pilihan Raya Umum (PRU).

Malah, sebanyak 14 akujanji dengan 292 insentif yang dinyatakan di dalam manifesto itu jelas membuktikan kerajaan BN komitmen dalam memberikan khidmat kepada rakyat.

Ketua UMNO Bahagian Sri Gading, Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, penambahan terhadap Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) daripada RM1,200 kepada RM2,000 sebagaimana yang diumum menunjukkan kerajaan BN sangat memahami situasi rakyat ketika ini.

Katanya, beliau tidak pernah terfikir perkara itu akan dimasukkan ke dalam manifesto kali ini dan peningkatannya sangat mendadak.

“Saya terperanjat apabila Pengerusi BN mengumumkan perkara itu.

“Ini benar-benar hadiah kepada rakyat dan saya harap penerimanya akan membalas semula jasa kerajaan yang memberi,” katanya.

Ketua Bahagian UMNO Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman pula berkata, manifesto BN tidak ada tolok bandingnya dengan apa yang diumumkan oleh Pakatan Harapan.

Ujarnya, akujanji yang dinyatakan juga sangat kemas dan beliau percaya rakyat akan menyakininya.

“Semuanya lengkap, tidak ada apa-apa pun yang lompong. Ini bukti BN sangat menyayangi rakyat yang memberi mandat untuk membentuk kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau yakin rakyat pasti gembira dengan apa yang terkandung dalam manifesto BN itu.

Katanya, apa yang diumumkan bukanlah janji kosong, sebaliknya ia merupakan satu manfaat kepada rakyat di atas prestasi pentadbiran sepanjang pemerintahan selama ini

“Tidak pernah BN berjanji tapi tidak dilaksanakan. BN mempunyai rekod pencapaian yang baik dan disebabkan itu manifestonya juga cemerlang,” jelas beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast