Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Pengerusi DNC Asiatic Holdings Sdn. Bhd. Datuk Seri Feona Wan Junaidi melawat kilang pemasangan model-model motorsikal DEMAK pada Majlis Pelancaran Model-model Terbaru Motosikal DEMAK di DNC Asiatic Holdings Sdn. Bhd., Olak Lempit, Banting, Selangor. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 21 MEI 2017

KUALA LUMPUR- Barisan Nasional berjanji untuk menyediakan pekerjaan atau latihan yang bersesuaian kepada anak-anak muda di bawah 30 tahun untuk mendapat kerja dalam tempoh enam bulan selain mewujudkan 10,000 peluang pekerjaan dalam keusahawanan sosial melalui dana khas dari syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Bertemakan Generasi Muda Pewaris Masa Depan, teras ketujuh Manifesto BN untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini menyaksikan komitmen kerajaan untuk meningkatkan kebolehpasaran para graduan melalui latihan amali berstruktur dan kursus insaniah.

Selain itu, pelajar-pelajar lepasan Maahad Tahfiz akan diperkasa melalui program keperantisan dan pemadanan latihan amali berstruktur di syarikat-syarikat berasaskan industri halal.

Peranan belia pula menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan diperkukuh dalam pembangunan negara dengan mencerna idea dasar baharu, segar dan kreatif.

Idea dasar terbaik melalui aplikasi MyCadang akan dipilih untuk pembentangan bulanan kepada Mesyuarat Jemaah Menteri.

Malah dana tahunan untuk setiap idea terbaik daripada anak-anak muda untuk mencapai keseluruhan 10 aspirasi utama dalam Kanvas Belia TN50 akan disediakan.

“Dalam tempoh terdekat, Malaysia harus bertekad untuk menjadi antara negara terkemuka dalam bidang ekonomi, kesejahteraan rakyat dan inovasi.

“Pembangunan dan penambahbaikan infra khusus untuk kelompok belia dan remaja akan diperluas ke seluruh negara.

“Inilah peneraju Malaysia untuk melangkah ke era Revolusi Industri 4.0 sebagai kumpulan yang progresif, berwibawa dan bersedia untuk mengibar panji Malaysia di pentas dunia,” katanya ketika melancarkan Manifesto BN bagi PRU 14 di sini malam ini.

Selain itu, Barisan Nasional turut berjanji memberi peluang kepada bekas tahanan, bekas penagih dadah dan golongan wanita terlanjur melalui latihan TVET dan penubuhan Tabung Peluang Kedua. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast