Teh Yee Cheu

ALOR SETAR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu akan mengumumkan esok untuk melawan parti lamanya DAP esok selepas mengumumkan keluar dari parti disertainya sejak 2000.

Yee Cheu memberitahu MalaysiaGazette beliau akan bertanding di kerusi DUN Sungai Pinang dan bukan di Tanjung Bungah kerana memiliki sokongan daripada pengundi di kawasan tersebut.

“Ya, saya akan bertanding juga dalam pilihan raya umum kali ini… tapi saya akan bertanding di Sungai Pinang bukan Tanjung Bungah.

“Kalau saya tidak ada sokonga buat apa saya pilih untuk bertanding, disebabkan sokongan yang saya ada saya memilih untuk bertanding semula,” kata beliau.

Beliau memberitahu pengumuman rasmi akan dibuat esok dan parti yang akan disertainya adalah berasaskan kepada ideologi sosialis.

“Di Malaysia ada dua parti berasaskan sosialis, Parti Rakyat Malaysia dan Parti Sosialis Malaysia… salah satu dari parti ini akan saya bertanding atas tiket mereka,” ujarnya.

Jelasnya lagi, langkah bertanding diambil kerana merasakan perlunya kuasa ketiga dalam sesebuah kerajaan bagi menyuarakan pandangan, ia selepas parti lamanya dilihat gagal membawa agenda perubahan.

Yee Cheu sebelum ini dianggap sebagai wakil rakyat DAP berhaluan kiri selepas kerap mengkritik kerajaan negeri dan partinya sendiri terutama ketika sidang DUN.

Malah, beliau turut bersetuju supaya Ketua Menteri, Lim Guan Eng meletak jawatan ekoran tuduhan rasuah yang dihadapi di mahkamah selain menggesa supaya jawatan Ketua Menteri dihadkan hanya kepada dua penggal.

Dalam isu pembangunan pula, Yee Cheu yang merupakan aktivis alam sekitar turut lantang mengkritik Kerajaan DAP Pulau Pinang khususnya membabitkan projek di lereng bukit dan tambak laut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast