PARLIMEN Batu Pahat boleh kembali kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) menerusi transformasi politik yang dibawa oleh BN Johor.

Berlandaskan kepada komitmen yang ditunjukkan oleh Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, agenda pembangunan negeri yang lebih inklusif dan menyeluruh, dijangka mampu menawan hati pengundi di kawasan berkenaan.

PRU-14 menjadi amat penting terutama bagi Johor kerana gerakan pembangkang dilihat semakin agresif mahu meruntuhkan kubu kuat parti itu di selatan tanah air.

Malah, transformasi serta pembaharuan yang dilakukan oleh Mohamed Khaled perlu mendapat sokongan padu jentera parti setiap bahagian jika mereka serius mahu merampas kembali beberapa kerusi Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus menafikan kemaraan pembangkang.

Kekalahan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada PRU-13 lalu bukanlah disebabkan parti pembangkang itu kuat sebaliknya, ia terjadi akibat sentimen masyarakat ketika itu yang menolak BN dan ia diburukkan dengan kurangnya perpaduan di Bahagian UMNO Batu Pahat ketika itu.

Maka, untuk menebusnya kembali, jentera BN pada PRU kali ini perlu menjayakan pembaharuan politik dan agenda Mohamed Khaled itu dengan bersungguh-sungguh.

Langkah itu termasuk berdepan dengan strategi bertemu pengundi dan akar umbi selain calon yang lebih diterima dan disukai pengundi.

Jika transformasi itu diterima dengan berlapang dada dan dijayakan dengan penuh ikhlas dan bersepadu di bahagian, penulis percaya Parlimen Batu Pahat akan kembali dirampas BN.

Pada PRU-13 lalu, PKR menerusi Datuk Mohd Idris Jausi mengalahkan Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, yang ketika itu Timbalan Menteri Pelajaran, dengan memperoleh 38,667 undi, iaitu majoriti kira-kira 1,700 undi.

Pada 2008 pula, Mohd Puad menewaskan calon PAS, Muhammad Abdullah dengan majoriti sebanyak 12,704 undi.

Beberapa nama disebut-sebut sebagai calon Parlimen Batu Pahat termasuklah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, Ayub Jamil, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat,Zaidi Japar dan Ketua Wanita UMNO Batu Pahat, Haliza Abdullah.

Ketua Wanita UMNO Batu Pahat, Haliza Abdullah disebut-disebut sebagai calon yang bakal diletakkan oleh BN ekoran memiliki latar belakang profesional sebagai peguam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast