SOKONGAN masyarakat setempat di kerusi Parlimen Gelang Patah dikatakan sudah beralih arah.

Tumpuan kini dialihkan kepada Barisan Nasional (BN) apabila pengundi-pengundi di kawasan berkenaan menyedari wakil rakyat mereka yang lepas tidak mampu memberikan perkhidmatan terbaik.

Perkara itu dibuktikan setelah wakil rakyat disitu, Lim Kit Siang dilihat jarang sekali turun padang bertemu rakyat apatah lagi membantu menyelesaikan isu dan permasalahan mereka.

Lim Kit Siang

Dakwaan itu dikuatkan lagi apabila Ketua UMNO Bahagian Gelang Patah, Mohammad Khairi A. Malik (gambar bawah) yang pernah menyatakan wakil rakyat yang dipilih pada PRU-13 lalu banyak bertumpu di kawasan luar parlimennya.

Sejak mengalami kekalahan pada PRU lepas, BN telah bekerja keras di kerusi Parlimen itu agar PRU kali ini ia tidak lagi jatuh ke tangan pembangkang.

Pada PRU-13, Penasihat DAP, Lim Kit Siang menewaskan bekas Menteri Besar Johor, Tan Sri Abdul Ghani Othman dengan majoriti 14,762 undi.

 

Perkara tersebut memaksa Abdul Ghani menamatkan karier politiknya selepas 18 tahun beliau menerajui jawatan tertinggi negeri kelahiran UMNO itu.

Gelang Patah yang merupakan kawasan majoriti Cina ketika itu mempunyai 106,726 pengundi.

Bagi mengatasi permasalah yang dihadapi masyarakat di Gelang Patah, Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pernah bersetuju untuk meletakkan calon MCA untuk bertanding kerusi Parlimen Gelang Patah.

Di media sosial pula, timbul pelbagai spekulasi malah berita palsu apabila ada yang mengaitkan sama ada veteran DAP itu akan mempertahankan Gelang Patah.

Antara mangsa berita seperti itu adalah Datuk Zaid Ibrahim yang baru-baru ini terpaksa menafikan poster kononnya beliau dipilih menjadi calon DAP menggantikan Kit Siang.

Namun, Ketua Parti Amanah Negara (PAN) Gelang Patah, Dzulkefly Ahmad pula dalam satu laporan mendakwa, sokongan pengundi di Gelang Patah kepada pembangkang masih sama.

Dakwaan itu boleh dilihat berdasarkan sambutan diterima Pakatan Harapan pada program bersama rakyat yang dijalankan di tempat tumpuan awam termasuk pusat gerai makan di Gelang Patah.

Bagaimanapun, jika benar, DAP kali ini dijangka berdepan dengan musuh tradisinya iaitu MCA.

Kali terakhir MCA bertanding di Parlimen berkenaan ialah pada 2004 dan menerima kemenangan besar, dengan majoriti melebihi 30,000 undi.

Akan tetapi, lawannya pada ketika itu bukan DAP sebaliknya PKR.

Lima tahun sebelum itu, pada tahun 1999, bekas orang kuat DAP Johor, Norman Fernandez turut menerima tamparan daripada calon MCA apabila yang memperolehi majoriti hampir 27,000 undi. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.