KUALA LUMPUR – Sebaik sahaja Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd Hashim Abdullah mengumumkan tarikh pilihan raya, tidak semena-mena Datuk Seri Najib Tun Razak diserang pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengan penetapan tarikh hari mengundi.
Disebabkan hari mengundi pada 9 Mei jatuh pada Rabu, maka ia menimbulkan pelbagai sindiran terutama daripada pembangkang, kononnya Perdana Menteri yang menetapkan tarikh itu.
Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, perdana menteri sementara ini banyak menyusahkan pengundi.
Beliau bersama parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang melobi supaya pengundi berdaftar keluar mengundi tidak bersetuju dengan pengumuman rasmi SPR mengenai tarikh pilihan raya itu.
Setiausaha Parti Amanah Negara (PAN) Kelantan, Rusdan Mustafa berkata, apabila hari mengundi ditetapkan Rabu, ada pihak berniat supaya peratusan keluar mengundi tidak melebih sasaran 80 peratus dan, sekali gus memberi kemenangan kepada BN.
Katanya, mengundi pada hari Rabu juga akan menjejaskan kira-kira 200,000 warga Malaysia yang bekerja di Singapura mendapat pelepasan daripada majikan masing-masing.
Dalam sidang media hari ini, Mohd Hashim mengumumkan esok, 11 April, sebagai tarikh keluar writ, diikuti 28 April penamaan calon, 5 Mei hari mengundi awal dan 9 Mei hari mengundi biasa. – MalaysiaGazette