Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Penyandang kerusi Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan tidak akan mempertahankan kerusi yang dimenangi oleh calon Pas itu pada Pilihan Raya Umum ke-14  (PRU14) akan datang.

Keputusan itu disahkan sendiri oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang malam semalam selepas mengumumkan Ketua Penerangan Pas itu dinamakan sebagai calon di Parlimen Indera Mahkota pada pilihan raya kali ini.

“Saya nak beri keistimewaan kepada Parlimen Indera Mahkota. Saya nak umum calon kita malam ini, khusus Indera Mahkota

“Calon Indera Mahkota yang jadi wakil Pas ialah Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Pilihan Raya Pas Pahang di Padang Awam Cenderawasih, Kuantan, Pahang.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada Mei 2013, Nasrudin menangi kerusi P.088 Parlimen Temerloh menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Saifuddin Abdullah dengan majoriti 1,070 undi.

Abdul Hadi juga berkata, Pas bercadang untuk membuat pengumuman senarai penuh calon parti itu secara serentak di seluruh negara pada 19 April ini.

Setakat ini, Nasrudin merupakan satu-satunya calon Pas yang layak bertanding semula dalam pilihan raya umum selepas menang di kerusi P.088 Parlimen Temerloh dalam Pilihan PRU13 pada Mei 2013 lalu.

Abdul Hadi berkata lagi, keputusan Pas meletakkan Nasrudin di Parlimen Indera Mahkota susulan bersesuaian dengan kediaman Ketua Penerangan Pas itu yang terletak dalam kawasan berkenaan.

“(Beliau) yang pernah duduk di Parlimen wakili Temerloh. Pasal apa dia mari sini, (sebab) rumah dia sini. Temerloh orang lain, Pas juga akan bertanding.

“Sudah tentu orang Indera Mahkota senang, dia (Nasrudin) duduk di sini, dia ada ilmu, ada kelayakan, boleh bercakap, boleh berhujah, dia tak senyap kalau duduk di Parlimen,” jelasnya.

Parlimen Indera Mahkota pada masa ini disandang oleh wakil PKR, Fauzi Abdul Rahman menewaskan calon BN, Adnan Wan Mamat dengan majoriti 7,523 undi pada PRU13 lalu. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Takut tengok sambutan luar biasa rakyat Temerloh kpd Pakatan Harapan. Setakat jual agama utk jadi ahli parlimen kemudian ponteng mesyuarat parlimen, tindakan rakyat menolak Pas adalah keputusan yang bijak.

Comments are closed.