Pengerusi Barisan Nasional Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (tengah) bersama barisan parti komponen negeri Johor menunjukkan buku Manifesto BN Johor pada majlis pelancaran manifesto tersebut di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada (PERSADA), Johor Bahru, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 14 APRIL 2018.

JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) Johor hari ini membentangkan lima teras utama dikenali sebagai Johor Hi-5 dalam manifestonya yang mencakupi aspek ekonomi serta penyediaan prasaran secara komprehensif.

Manifesto BN Johor yang bertemakan Team Johor Untuk Dekad Baharu: Tawaran Masa Hadapan itu merangkumi 230 tawaran kepada rakyat negeri ini.

Ia turut mengandungi tiga kluster lagi iaitu pembangunan minda, bakat dan kemahiran, kepimpinan berprestasi tinggi serta masyarakat lestari, Islami dan berbudaya.

Manifesto it dilancarkan Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Pusat Konvensyen Antarabangsa Johor (Persada) dan disifatkan sebagai manifesto terbaik dipersembahkan oleh BN negeri.

Ketika menyampaikan ucapan pada pelancaran itu, Mohamed Khaled berkata, Johor yang dikenali dengan nama jolokan Harimau Selatan mula menunjukkan taring dan belangnya serta mengganggap misi spesifik itu sebagai ‘mengejar singa’ (Singapura).

“Kita tidak akan biarkan Johor sekadar menjadi halaman belakang kepada sesiapa pun, apatah lagi sekadar menjadi pemerhati Singapura.

“Ini adalah tawaran kami dari pasukan BN negeri dan tawaran ini disusun dengan dipimpin oleh tiga sasaran iaitu memenuhi keperluan dan meningkatkan kesejahteraan bangsa Johor secara keseluruhannya, memposisikan Johor sebagai kuasa ekonomi baharu selatan dan mempersiap serta melonjakkan Johor sebagai pesaing kepada semua, terutamanya jiran kita Singapura,” katanya.

Menurut Mohamed Khaled, antara tawaran yang mendapat perhatian adalah pembinaan taman tema sains fiksyen pertama di dunia, Sci-Fi Universe pada tahun 2019 dengan pelaburan sebanyak RM400 juta.

Dalam pada itu, Mohamed Khalid turut memberitahu, BN Johor juga akan memperkenalkan Insurans Bencana Alam Johor untuk mangsa bencana alam selain menambah baik sistem amaran banjir.

Ujarnya, BN negeri juga berjanji akan mewajibkan pengisytiharan harta dan aset untuk Exco dan penjawat awam negeri kepada Menteri Besar, mewajibkan lafaz Ikrar Anti Rasuah dalam kalangan 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan semua 5,000 kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Selain lima kluster utama, BN Johor turut menawarkan tawaran pada Orang Muda Johor (OMJ), wanita dan Orang Kurang Upaya (OKU).

Antara tawaran kepada belia yang mendapat sorakan ialah pemberian bantuan RM500 kepada OMJ yang kali pertama berkahwin untuk pasangan muda berpendapatan RM3,000 ke bawah.

Sementara itu, BN Johor turut memperkenalkan program Pasport Pertama Bangsa Johor yang akan membiayai sebanyak RM50 untuk permohonan mendapatkan pasport kali pertama bagi OMJ berusia 30 tahun ke bawah, terhad kepada 3,000 penerima setahun.

Dalam usaha menyokong strategi Felda 2.0, BN Johor turut berjanji akan menyelesaikan isu perwarisan di Felda dalam tempoh lima tahun.

Sebagai tawaran untuk wanita di Johor, satu tapak khusus akan disediakan untuk membina Kompleks Wanita Tun Fatimah sebagai pusat niaga, kompleks busana, pusat kaunseling dan pembinaan kapasiti wanita di negeri ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast