KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Pas, Datuk Takuyuddin Hassan hari ini mengesahkan dakwaan Datuk Seri Abdul Hadi Awang ada usaha mengurangkan kuasa Majlis Syura Ulama satu ketika dahulu.
Kumpulan yang cuba berbuat demikian merupakan bekas pimpinan Pas yang kini pemimpin Parti Amanah Negara (PAN).
Merujuk kepada Datuk Husam Musa, Takiyuddin menyebut, pemimpin PAN yang bertindak sedemikian sebelum ini memegang jawatan sebagai pengerusi khas untuk mengkaji dan meminda perlembagaan Pas sendiri.
“Saya mengesahkan ini adalah benar walaupun dinafikan beberapa pihak, kita tubuhkan jawatankuasa memperkemaskan perlembagaan kerana ia terakhir sekali dipinda tahun 2011 jadi tahun 2012 kita tubuh jawatankuasa yang mana Naib Presiden Pas pengerusinya.
“Kita jadi diberikan mandat kepada jawatankuasa itu untuk merangka draf cadangan pindaan.
“Jawatankuasa ini saya sahkan telah mencadangkan beberapa cadangan pindaan dan juga cadangan peruntukan baru satu meminda apa yang sudah ada kedua memasukkan cadangan baru yang mana antara lain secara langsung mengurangkan kuasa Majlis Syura Ulama.
“Kalau ada yang kata tidak ada kami ada bukti,” katanya pada sidang media hari ini.
Takiyuddin juga menggesa pemimpin PAN yang menafikannya pendedahan Abdul Hadi sebelum ini supaya mencabar Pas untuk mengemukakan fakta.
“Kita ada dokumen. Pihak yang nak mencabar kita tolong semak fakta kadang ada yang bercakap dia pun tak tau walaupun masa itu dia pemimpin Pas,” katanya lagi.
Presiden PAN, Mohamad Sabu sebelum itu menyifatkan dakwaan Abdul Hadi sebagai rekaan untuk mengelirukan rakyat bagi melindungi agenda sebenar mereka iaitu cubaan menghalau ‘jebon-jebon’ dalam Pas.-MalaysiaGazette