SHAH ALAM – Pendakwah terkenal, Ahmad Dusuki Abd Rani tidak menolak kemungkinan penggantungan tauliah mengajar di Selangor mempunyai kaitan dengan pemilihan namanya sebagai calon Pas di negeri itu dalam pilihan raya kali ini.
Beliau berkata, jika beliau tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), besar kemungkinan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tidak mungkin akan menarik tauliah mengajarnya.
“Ya, saya rasa demikian, kalau tidak kenapa diambil tindakan tersebut, jadi saya berserah kepada Allah terhadap orang yang melaksanakan kerja-kerja (gantung tauliah) tersebut.
“Mereka merancang, Allah juga merancang, tapi Allah adalah sebaik-baik perancang,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas Majlis Pengumuman Calon Pas Selangor untuk PRU14 di sini, malam tadi.
Sebelum ini, Ahmad Dusuki yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Selangor digantung tauliah mengajar agama di negeri itu oleh MAIS beberapa hari selepas terkait kontroversi mendoakan kehancuran “pakatan yang jahat”.
Surat penggantungan itu antara lain menyebut Ahmad Dusuki dilarang daripada mengajar dan berceramah berkuat kuasa serta-merta sementara menunggu siasatan susulan aduan serta laporan media berkaitan kontroversi doanya itu.
Ahmad Dusuki juga menggesa rakyat di Selangor khususnya Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik yang ditandinginya supaya memilih Pas bagi membolehkan beliau ‘menyelamatkan’ orang Islam bukan sahaja di dunia bahkan sampai ke syurga.
“Jangan ada seorang pun orang Islam mengundi selain daripada Pas. Dengan cara ini membolehkan kita memerintah negeri ini, kita boleh memerintah Malaysia.
“Bila orang menyokong Pas, semua penggerak atau calon-calon Pas ini semua boleh menyelamatkan kita dalam kubur nanti dan boleh kita jawab depan Allah nanti,” katanya.
Ditanya kelebihan yang dimiliki beliau sebagai selebriti pendakwah untuk memenangkan Pas, Ahmad Dusuki bagaimanapun berkata, beliau lebih ‘takut’ jika Allah tidak mengenalinya.
“Saya tak rasa dikenali ramai, cuma saya rasa bimbang kalau tidak dikenali di sisi Allah, malaikat-malaikat tak kenal saya.
“Kalau pun orang kenal saya dengan yang baik pada saya, saya bersyukur kepada Allah.
“Mana-mana orang kenal saya dengan perkara buruk, saya minta berlindung kepada Allah daripada keburukan ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette