Home Nasional PRU14: Ustaz Tahir calon tunggal Berjasa

PRU14: Ustaz Tahir calon tunggal Berjasa

Dari kanan, Mohd Shokri Mahmood mengiringi calon Berjasa P.078 Cameron Highlands, Mohd Tahir Kasim (tengah) hadir pada penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands, Pahang. foto AQIRA AZEMI, 28 APRIL 2018
Dari kanan, Mohd Shokri Mahmood mengiringi calon Berjasa P.078 Cameron Highlands, Mohd Tahir Kasim (tengah) hadir pada penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands, Pahang. foto AQIRA AZEMI, 28 APRIL 2018

CAMERON HIGHLANDS – Bekas kakitangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Mohd Tahir Kassim menjadi calon tunggal parti Barisan Jemaah Islamiah Se Malaysia (Berjasa) yang bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, kali ini.

Beliau yang baru menamatkan perkhidmatannya Ketua Unit Khas Bahagian Dakwah (Orang Asli) pada Mac lalu, bertanding di Parlimen Cameron Highlands menentang empat pencabar lain pada 9 Mei ini.

Lebih mesra dengan panggilan Ustaz Tahir, anak tempatan dari Kuala Medang, Kuala Lipis, Pahang yang bertanding buat pertama kalinya, menyifatkan beliau memilih Cameron Highlands kerana kerusi Parlimen ini sangat istimewa dan dekat di hatinya.

Menurut Yang DiPertua Bahagian Cameron Highlands itu, beliau sudah lama berkhidmat dalam kerja-kerja dakwah kepada masyarakat di Parlimen ini sejak 30 tahun lalu.

“Saya yang perkenalkan kerja dakwah kepada masyarakat Orang Asli di sini. Sehingga kini, kita mempunyai sembilan pusat dakwah meliputi 78 perkampungan Orang Asli.

“Walaupun ahli politik lain turut memberi perhatian kepada masyarakat di Parlimen Cameron Highlands tetapi tidak keseluruhannya untuk kerja-kerja dakwah.

“Mereka hanya mengambil berat kebajikan penduduk sebagai satu `laluan’ tetapi tidak fokus sepenuhnya kepada kebajikan masyarakat sedangkan saya ingin memberikan pembelaan keseluruhan,” kata bapa kepada enam orang anak ini.

Beliau berkata demikian selepas selesai proses penamaan calon di Pejabat Tanah dan Daerah Cameron Highlands, hari ini.

Kehadirannya seawal jam 8,20 pagi, diiringi Naib Presiden Berjasa, Mohd Shokri Mahmood yang bertanding di kerusi itu pada PRU ke-13.

Ustaz Tahir  yang boleh menguasai pelbagai bahasa Orang Asli berkata, pencalonannya kali ini bagi menunaikan kewajipan dakwahnya kerana mengenali secara dekat masyarakat Orang Asli di Parlimen ini.

“Saya tahu susah senang masyarakat Orang Asli di sini. Sedangkan pihak lain hanya menggunakan untuk menjadi juara kepada masyarakat ini,” katanya.

Pada penamaan calon hari ini, Parlimen Cameron Highlands bakal menyaksikan saingan lima penjuru antara Datuk C Sivarraajh (Barisan Nasional), M Manogaran (PKR), Wan Mahadir Wan Mahmud (PAS), B Suresh Kumar (Parti Sosialis Malaysia) selain Ustaz Tahir – MalaysiaGazette