Peguam (LFL), Zaid Malek bercakap kepada media megenai isu pengambilan tanah dan rumah di Kampung Sungai Baru oleh Kerajaan Persekutuan ketika di 8 Avenue, Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 25 APRIL 2025.

KUALA LUMPUR – Penggunaan Seksyen 31C Akta Pengambilan Tanah 1960 yang membenarkan kerajaan merampas tanah untuk tujuan komersial, rekreasi atau industri menimbulkan persoalan besar terhadap hak pemilikan rakyat.

Menurut kata Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty (LFL), Zaid Malek, peruntukan tersebut tidak mewajibkan kerajaan membuktikan bahawa pengambilan tanah itu adalah demi kepentingan awam, menjadikan ia satu bentuk kuasa tanpa sempadan yang boleh disalah guna.

“Pusat beli-belah, kondominium, projek swasta adakah semua ini boleh dijadikan alasan sah untuk ‘rampasan’ ini?

“Itu bukan pembangunan yang adil,” katanya dalam sidang media yang turut dihadiri Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Hak Penduduk Kg Sungai Baru di pejabat LFL di sini hari ini.

Katanya lagi, situasi ini jelas tergambar dalam kes Kampung Sungai Baru apabila penduduk mendakwa tanah mereka diambil secara paksa atas nama pembangunan, tetapi projek yang dijalankan adalah perumahan mewah dan ruang komersial bukan kemudahan awam.

Zaid turut menegaskan,  Seksyen 31C bercanggah dengan prinsip keadilan dan keseimbangan (proportionality) seperti yang dijamin Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau membandingkan undang-undang di Malaysia dengan Australia yang hanya membenarkan pengambilan tanah wajib jika terbukti ia benar-benar untuk tujuan awam, serta disertakan dengan pampasan adil.

“Kita tidak menolak pembangunan. Tapi kalau tanah boleh diambil sesuka hati tanpa sebab awam yang sah, itu bukan pembangunan itu namanya penindasan,” tegas Zaid.

Beliau menggesa kerajaan segera meminda undang-undang ini demi melindungi hak milik rakyat yang kian terancam. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast