TELUK INTAN – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak berkata desas desus mengenai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebing Tinggi, Prof Dr Abdul Aziz Bari yang akan diangkat sebagai Menteri Besar Pakatan Harapan (PH) sekiranya memenangi negeri ini adalah satu langkah politik murahan.
Ujarnya, tindakan DAP dalam merencanakan Abdul Aziz sebagai calon Menteri Besar Perak pastinya akan dinilai oleh rakyat pada hari pengundian, 9 Mei ini, kerana beliau adalah calon import dan bukannya anak tempatan.
“Kita tahu tentang beberapa watak yang datang hanya untuk menjadi wakil rakyat tetapi mereka yang pernah berada di satu kawasan, tanyalah rakyat di kawasan berkenaan.
“Apakah wakil rakyat berkenaan benar bekerja untuk rakyat atau hanya nak jadi seorang tokoh popular di pentas ceramah. Saya fikir rakyat tentu lebih tahu siapa mereka,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan projek baikpulih dan naiktaraf sistem perparitan di Kampung Bahagia, Teluk Intan awal hari ini.
Nama Abdul Aziz disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar oleh PH sekiranya gabungan itu memerintah Perak selepas PRU-14.
Abdul Aziz dalam satu kenyataan berkata, beliau tidak menolak dakwaan bahawa akan dilantik ke jawatan tersebut sekiranya gabungan itu memenangi negeri itu.
“Orang (ada) bincang tapi bukan saya (yang berbincang), bincang berdasarkan faktor-faktor tertentu yang saya fikir tidak boleh dinafikan.
“Tetapi sekarang terlalu awal untuk beritahu sebab kita tidak tahu berapa kerusi kita boleh menang,” katanya. – MalaysiaGazette