Calon Pakatan Harapan (PH) N.01 Tanah Rata, Chiong Yoke Kong (tengah) bersalaman dengan orang ramai ketika mengedarkan risalah kempen sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di Pekan Brincang Cameron Highlands, Pahang. foto AQIRA AZEMI, 30 APRIL 2018

CAMERON HIGHLANDS – Calon DAP untuk kerusi Dewan Undangan Negeri Tanah Rata, Chiong Yoke Kong mendakwa Operasi Gading (Ops Gading) di Cameron Highlands mengugut dan menakutkan pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei ini.

“Ops Gading ini menyebabkan kebanyakan mereka (pengundi) takut untuk undi parti pembangkang.

“Mereka takut kalau mereka undi pembangkang dan Pakatan Harapan (PH) tak dapat jadi parti yang memerintah, mereka akan diganggu Ops Gading,” dakwanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui pada sesi bertemu pengundi di sekitar Brinchang, di sini, hari ini.

Atas sebab itu, beliau yang bertanding buat pertama kalinya berkata, peluang untk beliau menang hanya 40 peratus.

Meskipun, kerusi itu dimenangi DAP pada PRU 13, namun, beliau menyifatkan agak sukar untuknya mempertahankan kerusi itu.

“Ini pertarungan yang sengit kepada saya.

“Faktor utama yang menjejaskan peluang kemenangan saya pada PRU14 ini adalah akibat Ops Gading,” katanya.

Selepas penamaan calon, Sabtu lalu, calon PH mengemukakan cabaran kepada Barisan Nasional (BN) untuk menjelaskan pendirian berhubung Ops Gading selain mengkaji kelemahan mereka.

Menerusi Ops Gading, kerajaan menempatkan tentera darat secara berterusan di Cameron Highlands bagi tujuan penguatkuasaan terhadap penerokaan dan pencerobohan tanah kerajaan secara haram dan membasmi pendatang asing tanpa izin (PATI).

Chiong berdepan saingan tiga penjuru di DUN Tanah Rata menentang Leong Tak Man (BN) dan Presiden Parti Generasi Baru yang juga bekas Setiausaha Agung MIC, Datuk S Kumar yang bertanding atas tiket Pas. – MalaysiaGazette