Temubual bersama Bekas Adun Tanah Rata Parti Bebas, Datuk Ho Yip Kap sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di Habu Hight Cameron Highlands, Pahang. foto AQIRA AZEMI, 29 APRIL 2018
Bekas Adun Tanah Rata Parti Bebas, Datuk Ho Yip Kap. foto AQIRA AZEMI, 29 APRIL 2018.

CAMERON HIGHLANDS – Sentimen anak tempatan menjadi calon pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dimainkan pembangkang sehingga menjadi barah dalam minda pengundi.

Pendapat itu disuarakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanah Rata, Datuk Ho Yip Kap selepas memenangi PRU12 sebagai calon Bebas pada 2008.

“Kali kita lihat Ahli Parlimen (Cameron Highlands) selama ini pun dari luar tetapi mereka dapat berkhidmat dengan baik. Jadi faktor anak tempatan bukanlah perkara yang penting sangat,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di sini.

Beliau berkata, berdasarkan pengalamannya di gelanggang PRU, beliau menjangkakan peluang kemenangan di kerusi Parlimen Cameron Highlands lebih tinggi berpihak kepada Barisan Nasional (BN) pada PRU14, 9 Mei ini.

Parlimen Cameron Highlands berdepan cabaran lima penjuru antara Ketua Pemuda MIC, Datuk C Sivarraajh (BN); Mohd Tahir Kasim (Berjasa); Wan Mahadir Wan Mahmud (Pas); B Suresh Kumar (Parti Sosialis Malaysia) dan M Manogaran (Pakatan Harapan).

Yip Kap berkata, saingan lima penjuru akan memecahkan undi pembangkang tetapi tidak memberi kesan kepada BN.

“Undi BN akan kekal milik BN. Saingan lima penjuru ini sebenarnya memberi kebaikan dan menambah peluang kemenangan BN.

“Sebenarnya selama 13 kali PRU ini, Cameroh Highlands masih dalam tangan BN. Maka, peluang untuk menang itu masih tinggi,” katanya.

Katanya, ini berikutan undian tinggi masyarakat Orang Asli yang kebajikan mereka terjaga oleh kerajaan pimpinan BN selain pengundi Melayu di Felda Sungai Koyan yang tegar menyokong BN.

“Bagi masyarakat Cina yang kebanyakannya adalah petani di Cameron Highlands, mereka tahu apabila mengundi BN baru masalah mereka dapat diselesaikan,” kata Yip Kap. – MalaysiaGazette