ALOR SETAR – Pas kini lebih kuat selepas berakhirnya kerjasama dalam gabungan pembangkang, Pakatan Rakyat, kata Pesuruhjaya Pas Kedah Dr. Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi.

Beliau menyifatkan jentera Pas kini lebih tersusun dan sokongan pengundi masyarakat Melayu semakin kuat malah momentum tersebut dirasai pada PRU-14 ini.

“Momentum Pas semakin kuat dalam kalangan pengundi Melayu termasuk bukan Melayu yang memahami Pas dan prinsip perjuangan kami,” kata beliau semasa sidang media di ibu pejabat Pas Kedah hari ini.

Ahmad Fakhruddin juga membidas Pakatan Harapan (PH) yang mendakwa kononnya Pas punca undi pecah kerana tidak bersama mereka melawan Barisan Nasional (BN).

“PH menuduh kami memecahkan undi tapi realitinya mereka yang menjadi punca sebenar.

“Mereka baharu masuk dalam politik selepas kami, tapi mereka salahkan kami… kami mempunyai jentera terlebih awal sebelum mereka,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, jumlah keseluruhan jentera dan sukarelawan Pas di Kedah adalah seramai 12,000 dan ia menunjukkan sejauh mana sokongan akar umbi kepada parti itu di negeri tersebut.

Ujarnya lagi, pengundi di Kedah memberikan respon positif kepada Pas setakat ini dan penerimaan masyarakat juga agak baik berbanding sebelum ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast