Johari
Calon Barisan Nasional Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menunjukkan kebolehannya membuat roti canai semasa sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di Pasar Datuk Keramat, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 01 MEI 2018.

KUALA LUMPUR – Tindakan Persatuan Penjaja Pasar Keramat yang membuat keputusan sendiri untuk bersetuju dengan cadangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjual tanah pasar berkenaan amat dikesali para peniaga di situ.

Mereka yang telah berniaga sejak beberapa puluh tahun dahulu tidak menolak kemodenan namun memerlukan satu penerangan yang jelas mengenai nasib mereka selepas pasar tersebut dirobohkan.

Peniaga
Peniaga capati di Pasar Keramat Kuala Lumpur, Hasbullah Shamim Ahmad,
foto AFFAN FAUZI, 01 MEI 2018

“Saya terkejut apabila diberitahu tanah ini telah dijual, saya memang tidak boleh cakap apa-apa kerana ini bukan tanah kami, kami cuma menumpang meniaga tetapi saya amat berharap pasar ini tidak dirobohkan.

“Saya suka jika Pasar Keramat ini dapat dibangunkan semula dengan lebih cantik dan moden,” kata Hasbullah Shamim Ahmad, 48, seorang pemilik gerai One Chapati ketika ditemui di sini hari ini.

Manakala peniaga makanan, Rohaya Johari, 45, berkata, dia mengimpikan sebuah kompleks perniagaan yang lebih moden dibangunkan di atas tapak pasar tersebut dan bukannya dibina dengan projek lain.

makanan
Rohaya Johari, Peniaga makanan di Pasar Keramat Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 01 MEI 2018

“Pasar Keramat ini sangat dikenali tetapi sekarang orang ramai mempunyai banyak pilihan jadi kalau sebuah kompleks yang lebih moden dan bersih dapat dibangunkan pastinya kami mampu menarik lebih ramai pelanggan ke sini.

“Saya harap isu-isu seperti kesesakan lalu lintas dan tempat letak kenderaan juga dapat diselesaikan secepat mungkin supaya memudahkan pelanggan untuk datang ke sini,” katanya.

Bagi peniaga Char Kuey Teow, Rosli Halili, 49, dia tidak kisah sekiranya Pasar Keramat diberi wajah baharu yang lebih moden kerana apa yang penting baginya ruang berniaga itu mestilah mampu menarik pelanggan.

peniaga
Peniaga Char Kuey Teow, Rosli Halili ditemubual di Pasar Datuk Keramat, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 01 MEI 2018

“Saya memang tidak sokong apabila persatuan bersetuju dengan DBKL untuk menjual tanah ini dan saya terkejut apabila mendapat tahu mengenainya.

“Saya tiada masalah jika Pasar Keramat ini dibangunkan dengan kompleks yang lebih moden asalkan ramai peniaga berniaga di situ sebab jika tiada orang pun, tidak ada guna juga.

“Mana ada pelanggan yang mahu datang jika tidak ramai peniaga,” katanya.

Menurut Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, tanah yang menempatkan Pasar Keramat telah dijual kepada pemaju oleh DBKL atas persetujuan persatuan peniaga, bagaimanapun perkara tersebut dilakukan di luar pengetahuan lebih 300 bumiputera yang berniaga di situ.

Beliau berjanji akan membela nasib para peniaga dan meminta sebuah jawatankuasa khas yang dianggotai oleh semua peniaga Pasar Keramat ditubuhkan bagi memudahkan rundingan di antara peniaga, DBKL dan pemaju. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast