JOHOR BAHRU – Seorang lelaki Cina hari ini tampil membuat laporan polis selepas mendakwa dikasari seorang penyokong Pakatan Harapan (PH) di Taman Impian Emas di sini malam tadi.
Mangsa mendakwa dipukul ketika dia sedang mengedar risalah menyokong Pas.
Goh Tee Jun, 49, berkata, dia mengedarkan risalah tersebut berseorangan itu dipukul bertalu-talu menggunakan kerusi plastik oleh seorang lelaki berusia lingkungan 50an.
Akibat daripada pukul itu dia mengalami lebam pada bahagian tangan.
Menceritakan mengenai kejadian tersebut, Jun atau dikenali dengan panggilan Ah Seng berkata, dia bertemu dengan lelaki itu di sebuah kedai makan dan menghulurkan kepadanya risalah kempen calon Pas.
Katanya, setelah menerima risalah itu, lelaki terbabit berang dan bingkas dari tempat duduknya sebelum memaki hamunnya.
Ketika kejadian, lelaki terbabit duduk bersama beberapa lagi rakannya namun hanya dia seorang sahaja yang bertindak kasar.
“Tiba-tiba dia mengangkat kerusinya dan kemudian menghayun kerusi itu kepada saya. Nasib baik saya dapat menepis hayunan kerusi itu dengan tangan daripada terkena bahagian badan atau muka.
“Saya yakin orang itu adalah dari PH kerana pada bajunya dia melekatkan lencana berlambang PKR,” katanya ketika ditemui di Pejabat Perhubungan Pas Johor di sini hari ini.
Kata Ah Seng, dia telah mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di sebuah klinik kerajaan di Skudai sejurus kejadian tersebut.
Beliau juga membuat laporan polis mengenai kejadian itu tengahari tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Baharu Utara.
Katanya, laporan tersebut dibuat sebagai mempertahankan diri sekiranya kejadian seperti itu berlaku lagi terhadap dirinya selepas ini.
Ketika ditanya mengenai kempen terhadap Pas yang diedarkannya, Ah Seng berkata, dia telah lama mengikuti perkembangan Pas meskipun dirinya bukan muslim.
Walaupun dia bukan ahli Pas namun rentak politik yang dibawakan oleh parti itu menarik minatnya untuk menyokong perjuangan aprti itu.
Sementara itu, Pesuruhjaya Badan Perhubungan Pas Johor, Abdullah Husin kesal dengan kejadian yang berlaku.
Katanya, insiden tersebut jelas menunjukkan bahawa pihak lawan tidak mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera sepertimana Pas.
Jelas Abdullah, meskipun UMNO dan Barisan Nasional (BN) merupakan musuh tradisi Pas namun tidak ada sebarang provokasi melampau dilakukan oleh parti itu berbanding PH.
“Perkara seperti ini (pukul) memang tidak wajar berlaku dikala kita sedang berkempen untuk memilih kerajaan baru.
“Adalah lebih baik semua pihak terutamanya penyokong mengambil pendekatan yang harmoni tanpa melakukan perkara-perkara diluar jangkaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette
[…] Lelaki Cina edar risalah Pas kena pukul […]