Home Nasional TLDM terima 2 LMS tahun depan

TLDM terima 2 LMS tahun depan

Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin
KUALA LUMPUR – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dijangka menerima satu daripada dua kapal misi pesisir (LMS) yang kini dalam pembinaan, lebih awal daripada tarikh yang ditetapkan pada Oktober 2019.

Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata, pembinaan dua kapal LMS itu oleh China Shipbuilding & Offshore International Co. Ltd (CSOC) dan Boustead Naval Shipyard berjalan mengikut jadual yang ditetapkan.

“Saya ingin memaklumkan bahawa saya berpuas hati dengan laporan perkembangan perolehan dua kapal LMS. Insya-Allah kita akan memperoleh LMS pertama daripada dua LMS ini sebelum Oktober 2019,” katanya kepada Bernama di sini.

Pembinaan kapal LMS ini merupakan satu daripada lima kelas atau jenis kapal yang dilulus kerajaan di bawah program transformasi armada TLDM 15 kelima untuk membolehkan TLDM melaksana tugas operasi secara berterusan di perairan maritim dan memperkukuhkan kedaulatan negara.

Mengikut perancangan jangka panjang pelan transformasi tersebut, sejumlah 16 buah LMS akan dibina secara berperingkat oleh limbungan tempatan bagi menggantikan kapal ronda TLDM yang telah berusia dan berhadapan dengan masalah keusangan.

Menurutnya buat masa ini, dua kapal ronda yang ada iaitu KD Sri Johor dan KD Sri Perlis masih lagi beroperasi melaksanakan rondaan di perairan timur Sabah walaupun telah melebihi usia 50 tahun.

Ahmad Kamarulzaman berkata penambahan dan kehadiran kapal-kapal ini di laut kelak, sudah tentu akan meningkatkan lagi keyakinan dalam kalangan rakyat, khasnya komuniti maritim seperti para nelayan.

“Perasaan selamat ini akan diterjemahkan kepada peningkatan keyakinan rakyat kepada usaha kerajaan melalui ATM, agensi keselamatan khasnya TLDM yang sentiasa prihatin terhadap menjaga keselamatan negara dan rakyatnya,” katanya. – MalaysiaGazette