Abu Talib Alias
Setiausaha Barisan Nasional Johor Bahru, Abu Talib Alias (dua kanan) menunjukkan risalah salah laku dipercayai diedarkan oleh Pakatan Harapan yang mengandungi butiran berbaur fitnah mengenai kerajaan dan Perdana Menteri Malaysia sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Balai Polis Sentral, Johor Bahru, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 02 MEI 2018.

JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) Johor Bahru hari ini membuat laporan polis mendakwa pembangkang di negeri itu melanggar syarat berkempen apabila mengedar risalah berbaur fitnah memburukkan kerajaan di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang.

Setiausaha BN Johor Bahru, Abu Talib Alias berkata, tindakan itu diambil selepas pembangkang melanggar persetujuan bersama supaya tidak menabur fitnah untuk meraih undi ketika berkempen.

“Kita ada berjumpa dengan calon pembangkang kira-kira tiga hari lalu dan membuat persetujuan bersama supaya berkempen secara sihat dan tidak membuat sebarang fitnah.

“Tetapi semalam, kita mendapat aduan daripada seseorang bahawa dia menerima risalah yang diedarkan di kawasan perumahan Taman Pelangi yang mana risalah itu jelas menunjukkan ia mempunyai unsur fitnah yang memburukkan pemimpin kerajaan.

“Kita sudah berbincang dengan peguam dan kita mempunyai hak untuk membuat laporan polis dan berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan.

“Kita juga mahu polis pergi ke tempat itu serta merampas bahan kempen mereka kerana ia nyata salah mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS) di sini, hari ini.

Abu Talib hadir membuat laporan polis itu kira-kira pukul 2 petang tadi di IPD JBS ditemani Peguam BN Johor Bahru, Akmal Saufi Mohamed Khaled dan Pembantu Peguam, Ahmad Solihan Abd Ghani.

Menurut Abu Talib, risalah yang diedarkan itu menunjukkan tuduhan tidak berasas dan fitnah berniat jahat untuk memburukkan BN tanpa sebarang bukti.

“Ini adalah kesalahan mengikut Seksyen 4A iaitu melakukan perbuatan atau pernyataan yang bertujuan atau dengan kecenderungan untuk mengembangkan perasaan jahat atau tidak berpuas hati dan seterusnya mendorong pemilih untuk tidak mengundi (BN),”katanya.

Abu Talib Alias

Beliau berkata, pihaknya percaya perkara itu dilakukan pembangkang kerana gusar melihat sokongan padu yang meningkat kepada BN di Johor Bahru terutamanya di DUN Stulang.

“Kami dengan tegas ingin mengingatkan kepada semua parti lawan, jangan kerana mahu menang, sanggup menggunakan taktik kotor.

“Jika inilah cara parti lawan, makanya ia bermaksud mereka ingin mendapatkan kuasa dengan menggunakan fitnah, kemarahan dan kebencian.

“BN akan kekal komited berkempen dengan cara yang baik dan terhormat bagi menghormati proses demokrasi negara ini dan seterusnya memberi peluang rakyat supaya membuat keputusan berdasarkan fakta dan kebenaran secara tenang,” ujarnya.

Pada masa sama, menurut Akmal Saufi, ini adalah laporan polis pertama dibuat parti itu di Parlimen Johor Bahru dan akan merujuk ke Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tindakan lanjut.

“Saya akan mengambil tindakan untuk melaporkan perkara ini kepada Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya dan kita biarkan proses perundangan berjalan,” tambah beliau.

Selain tertera karikatur Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Pengerusi BN sedang memegang bendera putih, risalah dalam bahasa Mandarin itu juga mendakwa 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan FELDA sebagai rasuah terbesar dunia dan pemimpin yang terbabit dengan rasuah itu perlu ditangkap.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast